Narisa Abdul Rahim, 45 (kiri) memilih bekas takungan air di sebuah kedai di Kangar sebagai persediaan menyimpan air jika air dicatu di Perlis berikutan paras takungan air di Empangan Timah Tasoh semakin kritikal. - Foto Fail
Narisa Abdul Rahim, 45 (kiri) memilih bekas takungan air di sebuah kedai di Kangar sebagai persediaan menyimpan air jika air dicatu di Perlis berikutan paras takungan air di Empangan Timah Tasoh semakin kritikal. - Foto Fail
BERNAMA

Kangar: Mufti Perlis, Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin menggesa masyarakat Islam tidak menggunakan khidmat bomoh untuk memanggil hujan pada musim kemarau sekarang.

Beliau berkata, mempercayai kuasa lain selain Allah untuk menurunkan hujan adalah syirik.

"Umat Islam wajib yakin kepada kekuasaan Allah. Jangan taksub hanya kerana pernah menyaksikan kemampuan bomoh menurunkan hujan," katanya mengulas cadangan pihak tertentu supaya digunakan khidmat bomoh untuk memanggil hujan dalam kemarau sekarang.

Mohd Asri berkata, yang afdal ialah memohon terus kepada Allah dan berdoa yang sekiranya dilakukan dengan ikhlas, Allah akan memakbulkan permintaaan hamba-Nya.

"Sembahyang Istisqa dan doa beramai-ramai yang diadakan selepas solat Jumaat sejak dua minggu lalu menampakkan hasil apabila hujan beberapa kali turun walaupun belum dapat menyelesaikan masalah kemarau," ujarnya.

Beliau berkata solat yang dijadual diadakan di perkarangan Istana Arau dua minggu lalu dan dibatalkan apabila hujan mulai turun, mungkin dipertimbang diadakan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 6:07 PM