KESHA sudah bebas merakam lagu tanpa Dr. Luke.
KESHA sudah bebas merakam lagu tanpa Dr. Luke.
Georgie Joseph


Berikutan kes saman yang dikemukakan penyanyi Kesha kepada produser muzik Dr. Luke, tiada petanda dia mahu beralah apabila tampil dengan pendedahan terbaru.

Penyanyi berusia 29 tahun berkenaan terus berjuang habis-habisan demi membela nasibnya sebagai mangsa teraniaya. Bertahun-tahun lamanya dia berdiam diri, akhirnya, Kesha tampil ke mahkamah tidak lama dulu.

Bukan satu keputusan mudah apalagi mendedahkan mengenai kisahnya dirogol serta didera secara seksual oleh produser berkenaan. Tetapi, nyata penyanyi Timber itu nekad dan paling penting mahu menamatkan kontrak bekerja dengan Dr. Luke.

Perkembangan terbaru, produser itu bersetuju membebaskan Kesha dengan syarat tertentu. Namun, ternyata, penyanyi berkenaan tidak akan menurut syarat ditetapkan itu kerana ia keji.

“Saya akan dibebaskan jika bersetuju berbohong. Saya diminta memohon maaf secara terbuka dan mengatakan tidak dirogol.

“Itulah yang berlaku sebenarnya di belakang. Saya tidak akan membelakangkan kebenaran. Saya lebih rela kebenaran itu merosakkan karier saya daripada berbohong untuk seorang raksasa,” tulisnya di laman Instagram.

Kesha menfailkan saman terhadap Dr. Luke atau nama penuhnya Lukasz Gottwald pada 2014 dengan mendakwa produser berkenaan menderanya secara seksual, fizikal, verbal dan emosi.

Bagaimanapun, produser itu tampil pada Februari lalu dengan mengeluarkan kenyataan menafikan sekaras-kerasnya dakwaan berkenaan.

“Saya tidak pernah merogol dan mengadakan hubungan seks dengannya. Kesha dan saya adalah kawan baik selama bertahun-tahun bahkan saya menganggapnya seperti adik sendiri,” katanya.

Kesha sebenarnya sudah bebas untuk kembali ke studio tanpa terikat dengan Dr. Luke. Apa-apa pun, dia belum dibebaskan daripada pembohongan yang terus dilakukan produser berkenaan.

Menurut satu sumber, bukti yang dikemukakannya di mahkamah belum diterima sekali gus dakwaannya masih dikira palsu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 8:48 AM