YAAKUB (tiga kiri) memegang pedang sahabat Rasulullah Muaz bin Jabal sambil diperhatikan Pakar Etnologi Tempatan Abd Manan (tiga kanan). FOTO Nor Faisal Jahuri
YAAKUB (tiga kiri) memegang pedang sahabat Rasulullah Muaz bin Jabal sambil diperhatikan Pakar Etnologi Tempatan Abd Manan (tiga kanan). FOTO Nor Faisal Jahuri
Norfaisal Jahuri


Melaka: Rakyat negara ini berpeluang melihat sendiri lebih 40 artifak serta barangan peninggalan Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda menerusi Pameran Artifak Rasulullah & Para Sahabat di Muzium Al-Azim Bukit Palah, Melaka Tengah, bermula 15 Mei depan.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Yaakub Md Amin berkata, antara barangan peninggalan Rasullah bakal dipamerkan membabitkan rambut, kesan tapak kaki, capal, pedang, darah bekam, cop mohor dan kain penutup makam baginda.

Beliau berkata, usaha mengajurkan pameran itu dilaksanakan oleh Warisan MAR, Yayasan Pembangunan Insan Nusantara Malaysia menerusi Pakar Etnologi Tempatan, Prof Dr Abd Manan Embong dan ANO Ventures Sdn Bhd dengan membawa relik dan artifak berkenaan dari Arab Saudi, Brunei, Syria dan India dengan kos keseluruhan RM4 juta.

"Orang ramai boleh melihat pelbagai artifak yang pertama kali dihimpunkan dalam jumlah yang banyak dan peluang ini jarang sekali dapat diperolehi di negara ini.

"Kita bertuah kerana Melaka adalah lokasi pertama dipilih menganjurkan pameran ini selari dengan sejarah negeri ini menjadi tempat pertama Islam berkembang di negara ini," katanya pada sidang media di Kompleks MAIM di Bukit Palah, hari ini.

Barangan lain bakal dipamerkan adalah kain Kiswah Kaabah, ayat al-Quran yang dipahat pada kepingan emas berusia lebih 700 tahun, kunci Kaabah, peralatan astronomi dan kunci makam Rasulullah.

Orang ramai juga bakal melihat sendiri pedang Laksamana Cheng Ho iaitu penjelajah daripada Dinasti Ming beragama Islam yang sampai ke sini (Melaka) ketika Zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 5:41 PM