RAZALI (kiri) dan Suhaidi (dua kiri) menerangkan mengenai artifak yang dipamerkan kepada pegamal media.
RAZALI (kiri) dan Suhaidi (dua kiri) menerangkan mengenai artifak yang dipamerkan kepada pegamal media.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Serban, tongkat, cop mohor, kesan tapak kaki dan rambut Rasulullah SAW antara 25 artifak berharga untuk tatapan pengunjung pada Pameran Pendidikan Tamadun Islam Mendahului Zaman Artifak Rasulullah SAW dan Sahabat di Muzium Negeri Kedah di sini, bermula 20 Mac lalu hingga 19 April depan.

Malah, pameran julung kali dengan kerjasama kerajaan negeri, Lembaga Muzium Negeri Kedah dan Dragon Heart Sdn Bhd itu turut mempamerkan artifak kain penutup makam Rasulullah SAW selain tanah makam, busur (panah) dan darah bekam Baginda.

Pengarah Muzium Negeri Suhaidi Shukri berkata, pameran itu selaras hasrat pihaknya menyebar luaskan pendidikan dan pengetahuan mengenai tamadun Islam.

Beliau berkata, artifak yang dipamerkan itu memakan masa bertahun untuk dikumpulkan oleh pihak penganjur, justeru, orang ramai perlu merebut peluang datang ke pameran itu.

“Melalui pelbagai artifak yang dipamerkan, pengunjung dapat menyelami keperibadian Rasulullah SAW dan memupuk semangat cinta dan sayang kepada Baginda dan sahabat.

“Antara tarikan utama adalah serban, tongkat nabi, rambut dan capal Rasulullah SAW,” katanya pada sidang media selepas sesi lawatan khas media ke pameran itu, semalam.

Turut hadir, Pengurus Projek pameran dari Dragon Heart, Razali Bachik.

Suhaidi berkata, artifak yang dipamerkan seperti Kiswah pintu Kaabah, ayat surah al-Ikhlas pada butir beras, kunci Kaabah serta barang peninggalan sahabat seperti pedang rampasan perang sahabat dan cincin cucu Baginda, Saidina Hassan dan Hussein.

“Kita bawa masuk ke Malaysia dengan bantuan kerajaan Brunei melalui Muzium Brunei yang giat mengumpul pelbagai artifak tamadun Islam,” katanya.

Beliau berkata, bagi meningkatkan kehadiran pengunjung pihaknya mengadakan cabutan bertuah iaitu pelawat ke-1,000 akan menerima sehelai baju-T, pelawat ke 10,000 (sehelai baju-T dan sebuah al-Quran digital) dan pelawat ke 100,000 bakal menerima tajaan pakej umrah untuk seorang selain al-Quran digital dan sehelai baju-T.

Seorang guru, Suhaimi Nordin, 42, dari Kampung Buluh Lima, Kota Sarang Semut, dekat sini, berkata, pameran itu amat bermanfaat kerana dapat memberi pengetahuan mengenai artifak tinggalan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

“Saya, isteri dan anak-anak amat teruja dapat melihat dan menyentuh artifak berharga tinggalan Rasulullah yang selama ini dilihat di kaca televisyen.

“Peluang sebegini sukar diperoleh, jadi saya dan keluarga ke pameran ini dan antara yang unik seperti serban, rambut dan capal Rasulullah yang amat menyentuh hati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 9:24 AM