FOTO Muhaizan Yahya
FOTO Muhaizan Yahya
Zatul Iffah Zolkiply

Jertih: Tidak timbul isu riba dalam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) seperti dibangkitkan seorang penuntut universiti awam pada program syarahan umum pendakwah antrabangsa, Dr Zakir Naik pada Isnin lalu.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan penuntut wanita terbabit tidak faham terma dan konsep PTPTN yang kini sudah melaksanakan kaedah pengiraan ujrah bermula 2008 bagi mengurangkan bebanan peminjam.

"Bermula 2008, PTPTN sudah melaksanakan konsep ujrah atau pembayaran mengikut cara Islam yang hanya mengenakan upah sebanyak satu peratus daripada jumlah pinjaman berbanding tiga peratus kos pengurusan dan pentadbiran sebelum ini.

"Jadi sepatutnya isu ini tidak timbul dan dakwaan penuntut perubatan itu bahawa PTPTN mengambil riba adalah tidak tepat dan tidak benar," katanya ketika ditemui selepas majlis syarahan umum Dr Zakir di perkarangan Sekolah Menengah Imtiaz, di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu dibangkitkan seorang penuntut perubatan sebuah universiti awam di Pahang yang berasal dari Terengganu mengenai PTPTN yang didakwanya mengambil riba dan membebankan penuntut perubatan sepertinya yang akan menjadi aset negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 April 2016 @ 3:52 PM