Pendakwah dari India, Dr Zakir Naik. - Foto Fail
Pendakwah dari India, Dr Zakir Naik. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarahan umum Dr Zakir Naik yang dijadual Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) Melaka, Ahad ini, diteruskan dengan tajuk baharu iaitu 'Women's Rights In Islam'.

Pengarah Program Siri Syarahan Umum Dr Zakir Naik 2016, Abu Shariz berkata, perkara itu diputuskan selepas berbincang dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan selain mengambil kira sensitiviti dan pandangan orang ramai.

"Tajuk syarahan Dr Zakir Naik di Melaka sebelum ini ialah 'Similarities Between Hinduism and Islam' namun kami membuat keputusan menukar kepada tajuk baru kerana tajuk asal sensitif," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berkata, kerajaan membenarkan tokoh pendakwah dari India itu mengadakan syarahan di Melaka namun perlu menukar tajuk syarahannya.

Di GEORGE TOWN, program syarahan ilmu oleh Fariq Naik, anak penceramah antarabangsa Dr Zakir Naik, bertajuk 'Misconceptions About Islam' yang dijadual berlangsung di Kompleks Masyarakat Penyayang Pulau Pinang, Jumaat ini, dibenarkan dengan dua syarat.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, perbincangan khas Exco kerajaan negeri pagi ini memutuskan membenarkan program berkenaan diteruskan dengan syarat tidak menyentuh dan merendahkan agama lain serta penganjur memaklumkan program itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Rakyat pelbagai kaum boleh menghadiri untuk mendengar dan bersama-sama di wacana ilmu ini demi kesejahteraan dan perpaduan kaum di negeri Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 10:06 PM