KAKITANGAN As-Syirah menunjukkan produk keluarannya.
KAKITANGAN As-Syirah menunjukkan produk keluarannya.
Safuri Kamarudin

Baling: Syarikat Jamu Warisan Kampung Enterprise, pengeluar produk As-Syirah Kapsul Mutiara Wanita yang diadun dengan herba tradisional yakin produk berkenaan bakal menjadi pilihan pengguna kerana sentiasa mengekalkan kualiti dalam pembuatannya.

Dihasil menggunakan ramuan tradisi nenek moyang seperti manjakani, kacip fatimah, akar serapat dan pinang muda, membolehkan As-Syirah membantu merawat pelbagai penyakit kewanitaan selain melancarkan peredaran darah serta mengekalkan kejelitaan meskipun mempunyai ramai anak.

Pengurusnya, Mohd Sofian Mohd Tajuddin berkata, beliau memulakan perniagaan sejak dua tahun lalu selepas berhenti kerja di sebuah syarikat swasta kerana mengalami sakit belakang dan tidak mampu melakukan kerja berat.

Sehubungan itu beliau menjalankan perniagaan ini secara atas talian dan tidak menyangka ia mendapat sambutan baik daripada pengguna seluruh negara dengan kapasiti jualan mencecah 500,000 botol.

“Walaupun pada awalnya jualan agak perlahan, tetapi kini semakin berkembang dan mendapat sambutan baik dalam negara mahupun dari negara jiran iaitu Brunei, Indonesia serta Singapura selepas ramai mengetahui kebaikan produk berkenaan.

“Ia secara tidak langsung membuktikan jamu tradisional sememangnya berkesan, tambahan pula kita sentiasa mementingkan penjagaan dalam aspek kualiti produk sebagai jaminan kepada pengguna,” katanya sambil menambah maklumat lanjut mengenai produk boleh melayari laman web www.assyirah.com atau FB dan Instagram (As-Syirah).

Menurutnya, pihaknya juga akan melancarkan produk baru iaitu Jamu Sapu As-Syirah pada penghujung tahun ini, selain pencuci wanita pada akhir April depan.

Katanya, pihaknya menggunakan 100 peratus sumber alam semulajadi dalam jamu As-Syirah yang dirumus khas untuk menyelesaikan masalah dalaman wanita.

“Perniagaan melalui atas talian lebih mudah, malah wanita yang bermasalah boleh mendapat nasihat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

“Dalam sehari syarikatnya mampu menjual sehingga 500 botol secara atas talian seperti laman sosial Facebook (FB), WhatsApp dan sistem pesanan ringkas (SMS) kerana lebih mudah,” katanya yang turut dibantu seramai 10 kakitangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 6:56 AM