Oleh Hidayatul Akmal Ahmad


Kita sering dimomokkan dengan kata-kata wanita hamil tidak boleh membuat kerja dan perlu hanya berehat bagi mengelak komplikasi pada bayi. Sebenarnya, hamil bukan alasan untuk seseorang wanita hanya duduk 'goyang kaki' tanpa melakukan apa-apa pergerakan.

Senaman memberi kebaikan kepada tubuh badan, termasuk ketika hamil. Ia membantu mempersiap­kan wanita hamil untuk bersalin dengan membantu mengukuhkan otot, membina ketahanan serta memudahkan mereka mengembalikan bentuk badan asal selepas bayi dilahirkan.

Menurut laman web khusus berpusat di Britain, babycenter.com, badan akan mengeluarkan hormon relaxin ketika mengandung yang melonggarkan sendi sebagai persediaan untuk bersalin.

Di Amerika Syarikat, kira-kira 25 peratus wanita hamil bercadang untuk bersenam tetapi hanya 42 peratus daripada mereka yang melakukannya manakala 21 peratus lagi hanya bersenam ketika kandungan berusia sekurang-kurang enam bulan.

Jurulatih kecergasan merangkap Pengarah Urusan CEMZ Fitness, Mohammad Ashraf Hasim berkata, peratusan ibu hamil yang bersenam di negara kita sangat rendah.

"Sebenarnya, senaman bukan hanya baik untuk mereka yang hamil, malah semua individu. Namun, tahap kesedaran dalam kalangan ibu hamil mengenai manfaat bersenam masih rendah dan perlu dipertingkatkan.

"Antara kelebihannya ialah membantu menguatkan jantung, meningkatkan ketahanan otot, mengurangkan simptom cepat letih dan lesu, mengurangkan sakit belakang serta meningkatkan stamina," katanya kepada media pada bengkel Healthy and Happy Pregnancy anjuran Yakult (Malaysia) Sdn Bhd di ibu negara, baru-baru ini.

Bengkel itu bertujuan memberi tip dan panduan ke arah kehamilan sihat, malah ia diharap dapat menjelaskan bahawa minuman Yakult selamat diminum ketika hamil serta selepas kelahiran.

Menurut Ashraf, pada 1985, ibu hamil disaran bersenam selama 15 minit sehari, pada 1994 disaran tiga kali seminggu, manakala pada 2002 disaran bersenam selama 30 minit sehari. Manakala pada 2006, ibu hamil disaran bersenam untuk tempoh lebih lama bagi mengelak diabetes, masalah tulang, tekanan darah tinggi dan obesiti.

"Pada awal kehamilan, seelok-eloknya digalakkan bersenam tiga hingga lima kali seminggu manakala tiga hingga empat kali pula dalam tempoh akhir kehamilan. Tempoh maksimum pula 40 hingga 50 minit manakala paling minimum 15 hingga 20 minit setiap kali senaman.

"Lakukan senaman hingga badan rasa penat dan jangan paksa badan anda melakukan lebih daripada yang terdaya. Wanita hamil juga dilarang melakukan senaman yang tertumpu pada bahagian perut selain senaman di tempat tinggi dan menyelam.

"Elak juga memakai pakaian terlalu tebal, kurang minum air, bersenam pada waktu terik, berdiri terlalu lama serta senaman baring selepas trimester pertama," kata­nya.

Pakar pemakanan, Indra Balaratnam pula berkata, penting bagi ibu hamil mengambil makanan berkhasiat dan seimbang bagi membekalkan nutrisi secukupnya kepada bayi dalam kandungan.

"Pilih makanan yang kaya de­ngan nutrisi, bukan kalori. Pemilihan sumber makanan yang betul membantu menyokong tumbesaran janin dan meningkatkan metabolisme.

"Selain itu, lebihkan pengambilan protein, misalnya telur, tahu, kekacang, ikan dan daging. Pe­ngambilan zat besi seperti bijirin, kekacang dan daging juga penting bagi menambah sel darah merah dalam badan. Sel darah merah membantu membekalkan oksigen dalam sel badan," katanya yang turut berkongsi resipi mudah dan berkhasiat buat ibu hamil.

Turut hadir, aktres Diana Amir yang berkongsi pengalaman hamil anak pertama. Meskipun mengalami alahan teruk, dia masih cuba mengambil Yakult setiap hari supaya sistem penghadamannya dalam keadaan baik.

"Alhamdulillah, ini pengalaman pertama dan saya teruja untuk bergelar ibu. Bagi ibu hamil, penting untuk mengekalkan kesihatan usus supaya dapat menyerap khasiat sepenuhnya daripada makanan untuk bayi dalam kandungan.

"Ibu hamil juga tidak perlu risau mengambil Yakult setiap hari kerana ia sesuai diminum oleh wanita hamil sebagai sebahagian daripada diet seimbang mereka, selain bermanfaat," katanya yang juga duta kempen berkenaan.

Satu daripada fungsi Yakult adalah membantu mengelak sembelit. Wanita hamil biasanya mengalami masalah ini dan pengambilan Yakult boleh mengelak masalah ini.

Selain itu, pengambilan Yakult secara berterusan bantu meningkat­kan sistem imunisasi yang menjadi lemah ketika hamil. Beberapa kajian mengesyorkan pengambilan probiotik berterusan setiap hari bagi membantu melegakan sembelit.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), probiotik ialah mikro organisma hidup yang memberi kebaikan kepada kesihatan hos apabila diambil dengan kuantiti mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:00 AM