BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 827 permohonan perkahwinan bawah umur 16 tahun bagi masyarakat Islam direkodkan tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

Beliau berkata Majlis Istiadat Sarawak pula merekodkan 294 permohonan bagi tahun yang sama.

"Perkahwinan bawah umur 16 tahun bagi bukan Muslim adalah tidak sah berdasarkan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) mengenai jumlah perkahwinan membabitkan warganegara yang belum mencapai umur 16 tahun.

Teo juga mahu kementerian menyatakan langkah melarang perkahwinan bawah umur memandangkan Malaysia menerima resolusi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghapuskan perkahwinan kanak-kanak pada Oktober 2013.

Rohani berkata di Malaysia, perundangan perkahwinan adalah di bawah undang-undang keluarga ditadbir secara berasingan bagi yang beragama Islam dan bukan Islam.

"Perkahwinan Islam ditadbir di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 dan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam di

negeri-negeri yang memperuntukkan bahawa perkahwinan di bawah umur 16 tahun hendaklah terlebih dulu mendapat kelulusan Mahkamah Syariah.

"Bagi yang bukan beragama Islam, Seksyen 10 Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 memperuntukkan umur minimum perkahwinan ialah 18 tahun.

“Bagaimanapun seorang perempuan yang mencapai umur 16 tahun boleh berkahwin dengan kebenaran (lesen) yang diberikan Ketua Menteri," katanya.

Menurutnya, Katanya perkahwinan adat pula dilaksana dan didaftarkan mengikut undang-undang adat kaum pribumi masing-masing di Sarawak dan Enakmen Mahkamah Anak Negeri 1992 di Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 11:28 PM