BERNAMA

Seremban: Polis menahan dua lelaki termasuk seorang penjawat awam selain daripada merampas syabu dan daun ketum bernilai RM10,064 semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Adzli Abu Shah berkata kedua-dua suspek berusia 28 dan 21 tahun itu ditahan dalam serbuan 3.30 pagi di Batu Enam Jalan Pantai Port Dickson.

"Hasil pemeriksaan di dalam kereta suspek menemui daun ketum yang telah direbus seberat 8.4 kg yang disorok di belakang kereta," katanya.

Susulan itu, beliau berkata polis menyerbu rumah suspek di Teluk Kemang beberapa jam kemudian dan menemui 26 kg lagi daun ketum menjadikan jumlah rampasan daun ketum seberat 34.4kg.

"Selain itu kita turut menemui syabu seberat 35.5 gram," katanya di sini, hari ini.

Adzli berkata ketika serbuan, salah seorang daripada suspek didapati positif dadah.

"Kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 39 A (2 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 11:27 PM