Sebahagian rakaman video kekecohan yang berlaku.
Sebahagian rakaman video kekecohan yang berlaku.
Nur Ain Musdad

Melaka: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini perlu mendapatkan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika melakukan operasi penguatkuasaan berisiko tinggi bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata, operasi dimaksudkan termasuk membanteras aktviti perjudian haram.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai video kekecohan ketika sepasukan pegawai dan anggota Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) melakukan pemeriksaan di premis disyaki menjalankan aktiviti perjudian haram di Banda Hilir, 5 petang semalam.

"Saya belum terima laporan penuh berhubung kejadian itu, difahamkan video kekecohan itu sudah tersebar melalui WhatsApp dan Facebook.

"Pegawai undang-undang peringkat negeri dan PBT juga sudah diarahkan menyiasat perkara ini," katanya.

Idris berkata, jika pemilik bangunan terbabit didapati terbabit dalam aktiviti perjudian haram mereka boleh dikenakan tindakan mengikut udang-undang kerajaan tempatan.

Sementara itu mengulas mengenai kejadian sama Pengarah Perundangan dan Penguat Kuasa MBMB Hazudin Hashim berkata, dalam kejadian itu kenderaan dinaiki penguat kuasa MBMB dihalang oleh sekumpulan individu tidak dikenali.

Selain itu dua anggota penguat kuasa MBMB dilaporkan lebam di dahi dan bahu akibat ditumbuk individu dipercayai daripada kumpulan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2016 @ 8:13 PM