DERETAN komputer riba menjadi alat permainan judi siber menerusi serbuan di sebuah rumah banglo.
DERETAN komputer riba menjadi alat permainan judi siber menerusi serbuan di sebuah rumah banglo.
Oleh myMetro

Melaka: Penganjur judi siber di daerah ini mengubah taktik dengan menjadikan kawasan perumahan elit seperti di Batu Berendam di sini, untuk beroperasi sebagai usaha menyukarkan pihak berkuasa menghidu aktiviti haram itu.

Bagi memastikan kedudukan pusat judi rahsia itu kekal rahsia, penganjurnya menyediakan kenderaan khas atau ‘feri’ untuk membawa kaki judi ke banglo yang dijadikan pusat judi siber haram.

Namun taktik itu dapat dipatahkan Bahagian Penguatkuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) hasil risikan serta maklumat awam.

Pada masa sama, ada penganjur yang menjadikan pangsapuri sebagai pusat judi siber haram sehinggakan jiran langsung tidak menyedari kewujudannya.

Datuk Bandar MBMB Datuk Zainal Hussin berkata, menerusi operasi dijalankan baru-baru ini, pihaknya menyerbu enam premis membabitkan banglo dan pangsapuri sekitar daerah ini yang dijadikan pusat judi siber haram.

“Kami merampas komputer riba serta meja dan kerusi yang digunakan dalam aktiviti judi siber terbabit. Penganjur mengubah lokasi premis sejak MBMB giat menjalankan operasi bersepadu mencegah judi siber bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

“Kami berdepan kesukaran mengesan kegiatan ini yang dijalankan di kawasan perumahan kecuali ada aduan daripada penduduk setempat.

“Malah batasan kuasa yang ada pada pihak berkuasa tempatan (PBT) juga menghadkan sasaran serbuan terutamanya apabila membabitkan kediaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 10:23 AM