Kuala Lumpur: “Saya tak dibenarkan komen lebih mengenai kes ini atas arahan peguam.

“Jumlah tuntutan itu berdasarkan kerugian pihak kami tanggung sejak Zizan melanggar kontraknya dan pergi ke pengurusan baru.”

Demikian kenyataan Marina Juki, pengarah urusan Wire Fame Entertainment Sdn Bhd berhubung tuntutan bernilai lebih setengah juta ringgit difailkan terhadap bekas rakan kongsinya, pelawak dan pengacara Zizan Razak, minggu lalu.

Marina berkata, tuntutan ganti rugi itu dibuat kerana pelanggaran kontrak bermula Mei lalu mengakibatkan kerugian pada sumber pendapatan dan komisen pada pihak pengurusan.

“Sejak saya buat pengumuman untuk teruskan tindakan undang-undang sekitar Jun lalu, memang pihak syarikat sudah mula mengumpulkan bukti sokongan.

“Akhirnya bulan lalu kita berjaya kumpulkan semua bukti kukuh dan saya menerusi peguam Tetuan Sarjit Handhu memfailkan writ saman dan pernyataan tuntutan itu terhadap Zizan.

“Untuk selebihnya, saya minta maaf tak boleh ulas lanjut kerana ia sudah membabitkan kes mahkamah,” katanya, petang semalam.

Difahamkan, Marina memfailkan saman dan tuntutan itu pada 6 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini kerana bekas rakan kongsi, juga artis di bawah pengurusan Wire Fame itu sudah melanggar kontrak.

Menurut Marina, kontrak empat tahun yang ditandatangani antara dirinya, Zizan dan Wire Fame hanya berakhir pada 2 Mei 2015.

Bagaimanapun, berikutan dakwaan konflik yang tercetus antara mereka berdua sejak awal tahun ini, Zizan dipercayai melanggar kontrak itu dan beralih ke pengurusan baru.

Marina turut menuntut antara lain, ganti rugi bagi perlanggaran itu, kos dan lain-lain relif yang dianggap munasabah.

Bagi kes berkenaan, Marina diwakili peguam Harjit Singh Sandhu dan Wan Nurliyana Abdul Rahman.

Zizan yang dihubungi pula enggan dan belum bersedia memberikan sebarang komen mengenai tuntutan saman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 November 2014 @ 5:13 AM