Norhayati Nordin


Peluang dan tuah perlu seiring untuk memastikan kerjaya seni berada di puncak tetapi tidak semua bernasib baik.

Juara Akademi Fantasia 2013 (AF2013), Faizul Sany mengakui laluannya membina nama dalam dunia seni bukan mudah tetapi dia sedar tiada kejayaan dicapai tanpa usaha.

Faizul atau Mohd Faizul Sani, 31, berkata, dia terus berusaha untuk memastikan dapat bertahan dalam perjuangan memahat nama dan membina karier seni.

“Saya juga mencipta lagu dan bersyukur karier seni makin stabil dan pada masa sama saya juga menghasilkan lagu untuk penyanyi lain seperti Amira Othman melalui lagu Hati-Hati yang liriknya ditulis rakannya, Hael Husaini.

“Saya gembira kerana lagu itu berjaya melonjakkan nama Amira. Saya dan Hael bekerjasama hasilkan Hati-Hati buat Amira atas dasar persahabatan.

“Bakat seni kami diketengahkan melalui acuan yang sama iaitu AF2013. Kami juga tahu kelebihan dan kekurangan tahap vokal masing-masing.

“Jadi, untuk Amira memang saya ciptakan lagu Hati-Hati istimewa buatnya. Ia merangkumi kesesuaian vokal dan tahap kemampuan Amira,” katanya.

Faizul juga akui ada individu lain yang membantu­nya mencantikkan lagi melodi lagu itu iaitu penya­nyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir.

Katanya, sebaik saja dia dan Hael menyiapkan lagu itu Faizal orang pertama ditemuinya. Kemudian Faizal membawanya berjumpa dengan Mike Chan.

“Apabila lagu Hati-Hati diterima baik pendengar, saya tumpang gembira buat Amira. Sekurang-kurangnya, kini usahanya berhasil apabila lagu itu menyerlahkan semula karier nyanyian Amira.

“Sebagai abang dan rakan seperjuangan, saya sangat mengharapkan rakan lain berjaya,” katanya.

Faizul yang kini popular menerusi lagu Jatuh yang menjadi OST drama Aku Bukan Bimbo di Astro Ria, lebih dulu dikenali dengan lagu Sepasang Sayap, Perempuan dan 333 Batu.

Muncul dengan album sulung, Faizul Sany yang memuatkan lapan lagu pada 2014, anak jati Tawau, Sabah ini dalam proses mengumpul material untuk album kedua.

Enggan terburu-buru, Faizul lebih gemar mengambil pendekatan bersikap teliti. Katanya, aspek itu penting untuk hasilkan album berkualiti.

“Saya mahu pastikan setiap lagu dimuatkan dalam album kedua nanti terbaik dari segala aspek. Saya mahu pendengar berasa berbaloi.

“Cita rasa pendengar kini sangat pelbagai. Sebagai penggiat seni, saya perlu peka dan teliti dalam menghasil serta memilih setiap lagu itu.

“Disebabkan ketelitian ini saya tidak mahu tangkap muat saja. Biar hasil kerja untuk proses album baru itu dibuat secara berperingkat-peringkat,” katanya.

Mengenai dirinya kini makin menjadi perhatian sebagai komposer, Faizul tidak nafikan sekarang ramai juga penyanyi yang meminta lagu daripadanya.

“Menghasilkan lagu bukan perkara mudah kerana ia perlukan ilham dan ia tidak datang selalu. Jadi, saya tidak boleh menjanjikan apa-apa kepada penyanyi lain yang meminta lagu daripada saya.

“Bukan saya kedekut, tetapi bergantung pada ilham dan saya tidak suka berjanji kosong. Apatah lagi, selain menghasilkan lagu untuk penyanyi lain semestinya saya juga penyanyi.

“Jika saya mampu dan ada kelapangan masa mencipta lagu termasuk datangnya ilham, saya pasti berkarya,” katanya yang dicungkil bakat penciptaan lagu menerusi pertandingan Hot FM Twisties Bingit pada 2008.

Sangat serius dalam karier seni dan muziknya, dalam menghasilkan lagu dia berpegang kepada tiga asas iaitu hasilkan lagu yang baik, jujur dan ikhlas berkarya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 5:01 AM