PASUKAN Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) dan tentera mengeluarkan mayat seorang mangsa terperangkap.
PASUKAN Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) dan tentera mengeluarkan mayat seorang mangsa terperangkap.
AFP

Kolkata: Sebuah jejambat yang dalam pembinaan di sini runtuh semalam menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dan puluhan cedera.

Pihak berkuasa bimbang ramai lagi mangsa terperangkap di bawah puing dan debu.

Rakaman disiarkan di televisyen menunjukkan polis dan orang ramai menggunakan tangan kosong dalam usaha mengalihkan kepingan konkrit dan besi untuk menjejaki mangsa yang terperangkap selepas jambatan itu runtuh sekitar waktu tengah hari di jalan raya yang sibuk.

Jurucakap Lembaga Pengurusan Bencana Kebangsaan Anurag Gupta berkata: “Dua puluh satu orang disahkan maut manakala 70 lain yang cedera dibawa ke hospital dengan ada antara mereka kritikal.”

Katanya, tidak diketahui berapa ramai mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Namun, menurutnya, pejalan kaki dan kenderaan turut jatuh ketika jambatan itu runtuh.

Pasukan penyelamat khas menggunakan pemotong konkrit, mesin penggerudi, alat pengesan dan anjing pengesan turut dikerahkan ke tempat kejadian.

Rakaman televisyen menunjukkan mayat berlumuran darah terperangkap di bawah kepingan konkrit selain satu tangan di bawah puing.

Derek O’Brien, ahli Parlimen dan jurucakap Parti Kongres Trinamool yang berkuasa di Benggala Barat menulis di Twitter: “Tragedi yang besar. Operasi menyelamat dijalankan. Ramai dikhuatiri mati.”

Menteri Dalam Negeri Rajnath Singh berkata, dia memantau keadaan itu.

“Saya sedih dengan kejadian ini kerana begitu ramai yang terkorban dalam kemalangan di Kolkata,” katanya.

Saksi yang enggan dinamakan berkata, dia mendengar bunyi kuat seperti letupan bom sebelum melihat asap dan debu berkepul.

“Saya melihat ke seberang jalan dan terdengar orang menjerit ‘jambatan runtuh!’,” katanya.

Kolkata menjadi tuan rumah perlawanan akhir kriket World T20 pada Ahad ini.

Kejadian itu kemalangan terbaru membabitkan pembinaan di India yang menunjukkan kualiti buruk bangunan di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 7:47 AM