Rangka manusia dan pakaian yang ditemui. FOTO Nabihah Kamal
Rangka manusia dan pakaian yang ditemui. FOTO Nabihah Kamal
Nabilah Kamal


Kajang: Rangka manusia yang lengkap berpakaian ditemui di kawasan belukar di Bandar Tun Hussein Onn, di sini, tengah hari semalam.

Rangka itu ditemui oleh seorang lelaki yang mahu memikat burung di kawasan berkenaan pada 1.30 tengah hari.

Penduduk Bandar Tun Hussein Onn yang enggan dikenali itu berkata, dia bersama rakan ke kawasan berkenaan sebelum tersandung sesuatu yang disangka beg pasir.

“Selepas diamati, rupa-rupanya beg pasir itu adalah pakaian dan ada rangka manusia.

“Saya terus ke pondok pengawal berhampiran dan memaklumkan penemuan itu sebelum pengawal keselamatan menghubungi polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard berkata, pemeriksaan dan siasatan yang dilakukan mendapati mangsa meninggal dunia lebih sebulan lalu.

"Rangka dan pakaian berkenaan tertanam di dalam tanah sedalam 0.3 meter. Bagaimanapun Unit Anjing Pengesan (K9) tidak menjumpai sebarang petunjuk di kawasan berkenaan," katanya.

Rangka itu dibawa ke Hospital Serdang dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 3:56 PM