NAIB Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Mohd Harun Abdullah melancarkan penjenamaan semula Pusat Jaringan Industri dan Komuniti selepas menyampai ucapan amanat pada Majlis Amanat Naib Canselor 2016, di Dewan Canselor UMS, Kota Kinabalu. Turut kelihatan Pendaftar Universiti, No'man Ahmad (kiri). FOTO Izhari Ariffin

Ardyhansah Amat

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadi universiti pertama di Malaysia melancarkan Tahun Melawat UMS 2016/2017 pada April ini dalam usaha menarik lebih kehadiran pelancong ke kampus.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah berkata, menerusi pengurusan EcoCampus, pelancaran itu juga dilakukan serentak dengan perasmian Pusat Informasi Pelawat 'EcoCampus' (EVIC).

"Melalui pelancaran Tahun Melawat UMS, Pusat EVIC akan menjadi ruang maklumat kepada pelancong yang turut menyediakan pakej pelancongan di dalam kampus seperti muzium, kem pendidikan alam semulajadi dan warisan arkitektual.

"Antara komponen penting yang akan ditempatkan di pusat berkenaan adalah pusat galeri dan penerangan pelancongan, pembelian tiket berpusat dan kedai cenderahati," katanya ketika menyampaikan amanat Naib Canselor UMS, di sini, hari ini.

Tambahnya, EVIC akan diperluaskan merangkumi kawasan tasik Fakulti Sains dan Sumber Alam (FSSA) yang akan dimajukan sebagai kawasan Taman Eko-Kampus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:42 AM