Mohd Roslan Abdullah (tengah) menunjukkan risalah 37 pakej pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roslan Abdullah (tengah) menunjukkan risalah 37 pakej pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024. FOTO MOHD ROJI KAWI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Industri pelancongan Sarawak diperkasakan lagi dengan pelancaran 37 pakej unik yang dijamin menepati cita rasa pelancong tempatan dan asing.

Pengarah Bahagian Pembangunan Pakej Tourisn Malaysia, Mohd Roslan Abdullah berkata, antara pakej yang ditawarkan di Sarawak Delta Geopark termasuk Pakej Geological, 'Heritage and Exploration' (warisan dan penerokaan).

Beliau berkata, turut ditawarkan 'Hidden Prehistory and Geological Sites (Tapak Prasejarah dan Geologi Tersembunyi), Pakej 'Cloud Glamping', Pakej Nature and Cultural (Alam dan Budaya).

Selain itu, Pakej Rumah Terbuka Gawai di Rumah Panjang Matop, Festival Babulang di Limbang serta Irau Aco Lun Bawang Festival.

"Semua pakej itu dibangunkan dengan kerjasama 13 operator pelancongan Sarawak dan juga dari Semenanjung Malaysia.

"Ia antara lain menawarkan lawatan ke geotapak, tapak biologi dan budaya di sekitar geopark merangkumi daerah Kuching, Bau dan Padawan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Pakej Pelancongan Sarawak Delta Geopark dan Gawai 2024, di sini, hari ini.

Mohd Roslan berkata pembangunan pakej itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mempelbagaikan pilihan destinasi pelancongan seiring dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026.

"Pembangunan pakej itu juga dapat memangkin ke arah usaha pemeliharaan warisan, sejarah dan budaya.

"Ia juga mempelbagaikan kegiatan ekonomi serta pembabitan masyarakat setempat bagi menjana sumber pendapatan," katanya.

Menurutnya lagi, pakej itu juga diyakini membantu melonjakkan industri pelancongan selepas mencatat prestasi yang baik tahun lalu.

"Pada tahun 2023, seramai 20.14 juta pelancong asing direkodkan melawat Malaysia sekali gus menyumbang pendapatan sebanyak RM71.3 bilion.

"Di Sarawak sahaja, seramai 3.92 juta pelancong direkodkan iaitu peningkatan 93.98 peratus berbanding 2.02 juta pada tahun 2022 dan jumlah perbelanjaan pelancong yang diraih adalah sebanyak RM9.99 bilion," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 7:55 PM