ORANG ramai mengguna payung untuk berlindung dari hujan lebat yang dibawa Taufan Soudelor di Hangzhou di wilayah Zhejiang, China, semalam
ORANG ramai mengguna payung untuk berlindung dari hujan lebat yang dibawa Taufan Soudelor di Hangzhou di wilayah Zhejiang, China, semalam

Taipei: Seorang budak perempuan berusia lapan tahun maut apabila diseret ke laut selepas Taufan Saudelor melanda Taiwan, kata pihak berkuasa semalam.

Taufan itu menyebabkan lebih 2,000 penduduk terpaksa dipindahkan dan askar dikerahkan ke kawasan terjejas.

Kanak-kanak perempuan itu menjadi mangsa pertama taufan berkenaan selepas dia diseret ke laut di wilayah Yilan, kelmarin.

Seorang lagi kanak-kanak turut dilaporkan hilang dalam kejadian sama manakala seorang wanita berusia 38 tahun dan seorang budak perempuan terselamat.

“Kanak-kanak yang mati dan hilang itu dihanyutkan ke laut selepas di badai ombak besar,” kata jurucakap bomba.

Lebih 2,000 penduduk di beberapa pulau peranginan popular di Taiwan dipindahkan ke kawasan selamat.

Askar juga dikerahkan membantu lebih ramai penduduk berpindah ke pusat perlindungan selepas hujan semakin lebat.

Taufan itu kemudian bergerak ke arah pantai timur Taiwan.

Soudelor dikategorikan taufan sederhana oleh Biro Pusat Cuaca Taiwan dan mungkin dinaikkan ke kategori tertinggi iaitu bahaya sekiranya kelajuan angin mencapai 184 kilometer sejam.

“Kami tidak menolak kemungkinan kekuatan Soudelor meningkat,” kata biro berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Ogos 2015 @ 5:07 AM