MEMBANGUNKAN sistem pendidikan dengan menekankan kepentingan pada peringkat awal kepada pelajar.
MEMBANGUNKAN sistem pendidikan dengan menekankan kepentingan pada peringkat awal kepada pelajar.
SISTEM pendidikan di Finland tidak menekankan sistem peperiksaan secara keterlaluan.
SISTEM pendidikan di Finland tidak menekankan sistem peperiksaan secara keterlaluan.
GURU menjadi aset dan ejen utama pembangunan sistem pendidikan di Finland.
GURU menjadi aset dan ejen utama pembangunan sistem pendidikan di Finland.
Susunan Ruhaiza Rusmin

Sejak sekian lama, sistem pendidikan Finland sering menjadi rujukan masyarakat dunia merangkumi prasekolah, sekolah rendah dan peringkat pengajian tinggi.

Selepas melakukan reformasi 40 tahun lalu, Finland kini dianggap antara negara yang memiliki sistem pendidikan terbaik dunia.

Pencapaian itu terhasil daripada evolusi pendidikan yang dibangunkan dari semasa ke semasa sehingga negara Eropah lain menjadikan Finland sebagai rujukan utama dalam pembangunan pendidikan.

Ahli akademik Finland Dr Pasi Sahlberg berkata, asas utama sistem pendidikan negara itu ialah mekanisme guru sebagai ejen perubahan.

Beliau yang menjalankan kajian rambang di pelbagai institusi pendidikan sering bertanya kepada pelajar - siapa yang mahu menjadi guru?

“Menakjubkan apabila lebih separuh daripada mereka mahu menjadi guru kerana berpendapat kerjaya itu sangat profesional dan menarik.

“Ia menjelaskan penghormatan tinggi pelajar terhadap kerjaya guru,” katanya.

Berdasarkan perangkaan, 25 peratus penduduk Finland berminat dengan kerjaya perguruan.

Guru biasanya memperuntukkan masa empat jam sehari di dalam bilik darjah dan dua jam seminggu sebagai ejen pembangunan profesional.

Di University of Helsinki pula, seramai 2,400 graduan sarjana menamatkan pengajian dalam program perguruan dalam program dibiayai sepenuhnya kerajaan.

“Sebenarnya, sangat sukar mengajar dan melatih seorang guru berbanding melahirkan seorang doktor atau peguam,” kata Dr Sahlberg.

Di negara yang mempunyai lebih lima juta penduduk itu, pendidikan formal tidak ditekankan secara keterlaluan kepada kanak-kanak sehingga berusia tujuh tahun, manakala hanya pelajar remaja diberikan ujian dan kerja rumah.

Bagaimanapun, ia tidak menghalang pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam akademik. Ini dibuktikan pada 2001 apabila pelajarnya berjaya merangkul pencapaian tertinggi dalam matematik, sains dan bacaan di peringkat antarabangsa hingga mengagumkan ahli akademik dan pembuat dasar.

Pada 2009, Finland sekali lagi menduduki carta pertama dalam pencapaian terbaik, meninggalkan Amerika Syarikat di tangga ke-15 untuk bacaan, 19 (matematik) dan 27 (sains).

Di Helsinki, pejabat Menteri Pendidikan Finland menerima 100 delegasi rasmi daripada 40 hingga 45 negara dari seluruh dunia sejak 2005.

Sistem pendidikan Finland secara dasarnya masih sama seperti negara lain namun komposisi antara pelajar-guru menjadi penyumbang kejayaan.

“Finland hanya ada 600,000 pelajar di seluruh negara manakala di bandar raya New York sahaja mempunyai lebih sejuta pelajar. Ini membolehkan fokus penuh diberikan kepada pelajar,” kata Timbalan Presiden American Institutes for Research Mark S Schneider.

“Sistem pendidikan di mana-mana juga sangat kompleks tapi pembangunan di Finland sangat pantas walaupun tiga dekad lalu sistemnya agak teruk,” katanya.

Sejak tahun 1970, guru di Finland perlu mempunyai ijazah sarjana. Pendapatan mereka juga lumayan, setanding dengan kerjaya profesional lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:01 AM