PENUHI cita rasa masyarakat urban di Malaysia.
PENUHI cita rasa masyarakat urban di Malaysia.
Hajahfarhana Tarmudi


Dalam penataan fesyen, pelbagai pilihan konsep diketengahkan untuk memastikan setiap koleksi tampak unik, kemas dan tersendiri.

Pada masa sama, kehadiran aksesori turut membantu untuk menampilkan gaya yang sempurna. Biarpun hanya bersantai, gaya sangat penting buat fesyenista.

Justeru, tidak hairanlah jika ada yang sentiasa menanti hasil sentuhan kreatif pereka fesyen dalam dan luar negara agar gaya ditampilkan sentiasa mengikut trend terkini.

Bagi memberikan pilihan menarik buat peminat fesyen yang begitu meminati koleksi rekaan pereka Jepun, pastinya kehadiran label ternama membuatkan anda tersenyum panjang.

Pengarah Urusan Isetan of Japan Sdn Bhd Nobuharu Yutani berkata, selain fesyen ada juga koleksi kraftangan dan hiasan dalaman yang boleh didapati di siri stor berkonsepkan popup, Tokyo Fashion District - Isetan The Japan Store.

“Kami sentiasa berusaha memenuhi cita rasa masyarakat urban di sini yang gemar bereksperimen dengan gaya yang versatil dan kontemporari.

“Kami percaya penduduk di Kuala Lumpur sedia menerima idea baru dan penambahan budaya kerana ini antara lokasi yang disukai pengunjung luar.

“Siri terbaru ini menjadi permulaan untuk diperkenalkan kepada masyarakat di sini yang gemarkan gaya terkini. Lebih menarik kami turut menyediakan kumpulan juru gaya berbahasa Inggeris untuk memberi panduan kepada pengunjung mendapatkan penampilan yang bersesuaian dengan personaliti,” katanya.

Label pereka Jepun seperti Akane Utsunomiya, and wander, kolor, mame, mastermind Japan, Muveil, N.Hoolywood, Porter, Taro Horiuchi, Toga Pulla, Undercover dan Yoshio Kubo boleh didapati di sini.

But kalis air

Direka khas untuk mereka yang inginkan keselesaan dan bergaya mengikut fesyen semasa, koleksi kasut but premium daripada Timberland pilihan menarik yang boleh dicuba.

Kasut but premium bersaiz enam inci itu kini diperbaharui dengan teknologi kalis air bagi memastikan tapak kaki sentiasa kering dalam apa juga keadaan cuaca.

Boleh didapati dalam pelbagai warna menarik seperti merah jambu dan ungu, kasut ini sesuai digayakan ketika bersantai dalam suasana sibuk di kota mahupun ketika mengikuti aktiviti perkhemahan dalam hutan.

Ciri yang selesa masih menjadi keutamaan di samping menekankan penampilan menarik biarpun ketika melakukan aktiviti lasak.

Bagi mengekalkan ciri selesa, teknologi antiletih yang eksklusif digunakan pada koleksi kasut but ini. Ia diperbuat daripada kulit kalis air yang lembut bersama jahitan kemas.

Menariknya, tali kasut yang diperbuat daripada nilon yang dikitar semula direka khas untuk mengekalkan kekemasan ikatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mac 2016 @ 6:28 AM