ZASKIA
ZASKIA
Agensi

Jakarta: Penyanyi dangdut Indonesia, Zaskia Gotik meminta maaf dan mendakwa dia secara tidak sengaja mempersendakan simbol negara itu.

Peguamnya Sunan Kalijaga berkata, Zaskia malu untuk tampil berdepan media dan sering menangis kerana terlalu sedih.

Zaskia berdepan siasatan polis selepas dituduh menghina simbol negara dalam satu program hiburan yang disiarkan secara langsung di sebuah stesen televisyen swasta.

Dalam segmen kuiz, Zaskia disoal tarikh hari kemerdekaan Indonesia dan simbol kelima dalam Jata Negara.

Zaskia secara berseloroh menjawab hari kemerdekaan Indonesia adalah selepas azan subuh pada 32 Ogos dan soalan kedua, itik yang menonggeng.

Jawapan sebenar hari kemerdekaan Indonesia adalah pada 17 Ogos dan simbol kelima dalam Jata Negara ialah padi serta kapas.

Sunan berkata, Zaskia tidak berniat mempersendakan simbol negara itu dan dia sebenarnya memang tidak tahu jawapan soalan itu.

“Kalau Zaskia tahu sudah pasti dia menjawab soalan itu dengan betul,” katanya.

Menurutnya, penyanyi itu juga tidak belajar mengenai simbol negara kerana tidak berpelajaran tinggi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 8:24 AM