ZASKIA Sungkar dan Irwansyah. FOTO IG
ZASKIA Sungkar dan Irwansyah. FOTO IG
Agensi 

Jakarta: Pelakon, Zaskia Sungkar, 31, yang kini hamil tujuh bulan mendedahkan setiap malam menangis sujud kepada Allah selepas lebih sembilan tahun berusaha mendapatkan zuriat.

Zaskia atau nama sebenarnya Zaskia Rahma Sungkar yang juga isteri penyanyi dan pelakon, Irwansyah mengakui rezeki berbadan dua itu juga hasil daripada doa tidak putus meskipun menerusi rawatan kesuburan in-vitro (IVF).

"Paling nikmat bangun malam, sujud nangis, minta sama Allah. Saya rasa kita yang diuji seperti ini mungkin saja Tuhan rindu kita menghadap kepada-Nya dalam doa dan air mata.

"Saya takut kerana ini adalah jalan terakhir. Kalau gagal juga, bagaimana? Tapi akhirnya saya berfikir begini, itulah sebahagian daripada iktihar.

"Jangan tertekan, mahu IVF, mahu program kehamilan yang lain, semua dari fikiran. Saya berusaha untuk relak dan tidak tertekan," katanya.

Pelakon filem Roh Fasik itu juga menyarankan setiap wanita yang masih belum ada rezeki untuk mendapat zuriat agar tidak putus iktihar.

"Apapun, kunci utama adalah daripada yang paling senang hingga paling susah, lakukan saja semuanya. Kepada yang ada masalah seperti kami (bersama Irwansyah), harus berjuang lebih usaha, ikut kemampuan kita," katanya.

Zaskia dan Irwansyah berkahwin pada 5 Januari 2011. Rumah tangga mereka tidak terlepas diduga apabila Zaskia pernah meminta Irwansyah untuk menceraikannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 12:23 PM