Ustaz Haslin Baharin

Saya akan melanjutkan pengajian ke luar negara, tahun depan dan ingin tahu cara untuk menunaikan solat di dalam kapal terbang.

Bolehkah saya melakukan solat jamak selama satu hari memandangkan perjalanan itu memakan masa lebih kurang 18 jam? Adakah solat dikira sah walaupun kita melakukannya tanpa menjejak tanah?

ROSA, Kuantan

Ada banyak perselisihan golongan ulama. Bagaimanapun mereka tetap mengatakan solat itu wajib dilakukan pada waktunya, berdasarkan firman Allah bermaksud; “Sesungguhnya sembahyang itu adalah kewajipan yang ditentukan waktunya terhadap orang-orang yang beriman.” (Surah an-Nisa:103)

Maksud solat yang dilakukan pada waktunya adalah solat jamak yang dilakukan ketika musafir. Menunaikan sembahyang dalam kapal terbang adalah diharuskan dan tidak perlu diulang atau di­kadho atau diganti sekiranya dilaksanakan dengan menepati rukun dan syarat-syaratnya.

Kebanyakan ulama mengambil kisah daripada hadis Nabi Muhammad pernah mengerjakan solat (sunat) sambil menunggang haiwan tunggangannya (rahilah) ke mana pun baginda menghadap, dan apabila baginda hendak mengerjakan solat wajib, baginda turun dari tunggangannya dan solat menghadap kiblat (Kaabah di Makkah).

Jika dilakukan solat dengan menepati rukun dan syarat solat sebagaimana mereka yang bermusafir di atas kenderaan seperti menepati kaedah takbir, rukuk, sujud dan sebagainya, maka tidak perlu diulang.

Jika tiada cara menepati syarat dan rukun seperti tidak berwuduk atau bersuci, maka boleh dilakukan dengan menghormati waktu dan menqadha atau menggantinya apabila berkesempatan melakukan dengan sempurna.

Begitupun, kemusykilan berkaitan kaki jejak ke tanah atau tidak, ia mempunyai pembincangan yang panjang.

Namun, sama ada solat tidak menjejak di atas tanah itu menepati rukun dan syarat atau tidak, kesimpulannya solat masih perlu dilakukan pada setiap waktunya. Wallahua’lam

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Mac 2016 @ 12:44 AM