GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
AL-FIQH

JIKA seseorang bermusafir dan melaksanakan jamak takdim solat Maghrib dan Isyak, maka bolehkah dia terus mengerjakan solat sunat Tarawih dan witir? Atau dia perlu menunggu sehingga masuk waktu Isyak untuk bertarawih?

Begitu juga solat sunat Tarawih diqiaskan waktunya dengan solat witir. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah menambahkan bagi kalian satu solat, yakni solat witir, maka hendaklah kamu laksanakan solat itu daripada selesai solat Isyak sehingga terbitnya al-Fajr.” (Riwayat Abu Dawud - 1418, al-Tirmidzi - 452 dan al-Baihaqi - 4250 dalam Sunan al-Kubra)

Sehubungan itu, sese-orang yang melaksanakan solat jamak takdim dengan menghimpunkan solat Isyak dengan solat Maghrib boleh melaksanakan solat Tarawih dan witir selepas menunaikan solat Isyak.

Fakta itu ada dinyatakan dalam kitab Busyra al-Karim Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah oleh Syeikh Sa’id Ba ‘Isyn al-Hadhrami Rahimahullah: “(Dan waktunya – iaitu solat witir - antara solat Isyak) sekalipun jamak takdim (dan terbit fajar) sadiq berdasarkan periwayatan khalaf daripada salaf.”

“(Dan waktunya – iaitu solat Tarawih- antara) pelaksanaan (solat Isyak), sekalipun dengan jamak takdim, (dengan) terbitnya (fajar) sadiq, sama seperti solat witir.”

Bagaimanapun, ulama menganjurkan supaya dilewatkan sedikit. Berkata Syeikh Umairah Rahimahullah: “Melaksanakannya sejurus solat Isyak pada awal waktu adalah bidaah orang-orang yang malas.”

Imam Syihabuddin al-Ramli Rahimahullah pula menyebut dalam al-Imdad Syarh al-Irsyad: “Waktu solat Tarawih yang mukhtar (terpilih) ialah apabila selepas masuknya seperempat malam.”

Bagi orang yang diharuskan untuk solat jamak takdim, boleh baginya untuk terus solat Tarawih dan witir tanpa perlu menunggu waktu Isyak sekalipun masih berada pada waktu Maghrib.

Ini barangkali akan memudahkan urusan bagi orang yang bermusafir jauh di hentian rawat dan rehat dan sebagainya untuk beribadat dalam bulan Ramadan.

Boleh juga dilaksanakan di atas kenderaan kerana mengambil rukhsah solat sunat ketika musafir. Perkara itu tiada masalah untuk dilakukan.

Semoga Allah SWT menerima amalan ibadat kita sepanjang bulan Ramadan ini.

Sumber: Irsyad Al-Fatwa, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 10:49 AM