TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed. FOTO Aizuddin Saad
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed. FOTO Aizuddin Saad
Salman Hamat


Melaka: Majikan di negara ini diminta memberikan kerjasama dan tidak banyak kerenah berhubung kenaikan levi pekerja asing.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, majikan perlu bertolak ansur berhubung perkara itu berikutan ada segelintir yang merungut mengenai kenaikan kadar levi.

"Kalau terus begini kerajaan akan ambil tindakan serius, mesti ada kerjasama dalam hal ini.

"Pengambilan pekerja asing menimbulkan persepsi kerajaan membawa masuk tenaga kerja itu ke negara ini, sedangkan kerajaan hanya menjadi perantara memudahkan urusan majikan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas RELA Siri 1/2016 di Akademi Latihan RELA Malaysia (ALARM), Sungai Udang, hari ini.

Beliau berkata, majikan juga perlu lebih bertanggungjawab dengan menjaga kebajikan dan mengurus pekerja asing masing-masing dan tidak hanya mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 2:34 PM