FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
FOTO Mior Azlan Mior Kamarulbaid
Norhayati Nordin


Singapura: Pelakon filem Melayu era 50-an, seniwati Neng Yatimah atau nama sebenar, Buntat Ahmad, 92, meninggal dunia jam 10.10 pagi ini di Hospital Khoo Teck Puat di sini.

Allahyarham yang mendapat jolokan pelakon air mata itu disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung dan penyakit kanser kolon dihidapinya sejak lebih setahun lalu.

Cucu arwah, Mohd Rezainudden Mustapha Azahari, 40, ketika dihubungi berkata, neneknya yang dijaga sepupu di Singapura sudah dimasukkan ke hospital sejak beberapa hari lalu.

"Keadaan kesihatan arwah nenek semakin merosot sejak arwah bapa saya, Datuk Mustapha Maarof meninggal dunia, setahun lalu.

"Ditambah, kami sekeluarga juga agak lewat mengetahui arwah turut menghidap kanser kolon pada tahap tiga, tahun lalu selain masalah jantung,"katanya.

Allahyarham Neng Yatimah yang juga ibu kepada Allahyarham seniwati Roseyatimah itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi Singapura selepas Zohor nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 1:25 PM