SIMONA melakukan servis ketika menentang Sorana. FOTO EPA
SIMONA melakukan servis ketika menentang Sorana. FOTO EPA
Reuters

Indian Wells, Amerika Syarikat: Simona Halep menewaskan rakan senegara dari Romania, Sorana Cirstea 6-1, 6-4 dan Iga Swiatek meraih kemenangan ketiga berturut-turut untuk membolehkan kedua-dua pemain mara ke suku akhir Indian Wells awal pagi tadi.

Bekas pemain nombor satu dunia, Simona yang menjuarai WTA 1000 di Southern California tujuh tahun lalu menang set pertama dengan bantuan banyak kesilapan dilakukan Sorana.

Sorana mendahului 2-0 pada awal set kedua tetapi juara dua kali kejuaraan utama itu bangkit dan mengesahkan kemenangan apabila pukulan lawannya yang menduduki ranking ke-27 dunia keluar pada mata akhir. Simona kini memegang rekod pertemuan 19-0 ke atas Sorana.

Dia akan menentang Petra Martic yang menewaskan pemain Czech Ludmilla Samsonova 7-6(6) 6-4.

Sementara itu, pemain Poland, Iga mempamerkan kebangkitkan sebelum menewaskan bekas pemain nombor satu dunia, Angelique Kerber 4-6 6-2 6-3 untuk mara ke suku akhir.

Pemain berusia 20 tahun itu akan menentang Madison Keys yang menewaskan pemain kelayakan dari Britain, Harriet Dart 6-1, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2022 @ 10:27 AM