FADIL (tengah) menunjukan dadah yang dirampas. FOTO Abdul Rahemang Taiming
FADIL (tengah) menunjukan dadah yang dirampas. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Junaidi Ladjana


Tawau: Polis menahan tiga individu termasuk suami isteri dan merampas dadah jenis syabu seberat lebih satu kilogram bernilai RM100,000 dalam serbuan di rumah di Kampung Wakuba, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian 5.30 pagi itu, suami isteri warga asing berusia 30 dan 41 tahun serta lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan susulan maklumat orang awam serta risikan berhubung aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika serbuan berlaku pergelutan antara polis dan suspek lelaki tempatan itu di ruang tamu selepas suspek cuba meloloskan diri namun diberkas manakala suami isteri terbabit ditahan ketika sedang tidur dalam bilik di rumah berkenaan.

"Soal siasat, suspek membawa polis ke kereta miliknya dan menunjukkan bungkusan plastik mengandungi satu bungkusan serta paket plastik berisi hablur jernih disyaki syabu seberat 1.082 kilogram dipercayai untuk diedarkan sekitar daerah ini.

"Kedua-dua lelaki berkenaan turut positif dadah dan semua suspek direman tujuh hari bermula hari ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 6:03 PM