PENYOKONG Trump membuat isyarat ‘T’ ketika menunggu ketibaannya di Jupiter, Florida.
PENYOKONG Trump membuat isyarat ‘T’ ketika menunggu ketibaannya di Jupiter, Florida.
AFP

Washington: Calon Demokratik Hillary Clinton mengalami kekalahan mengejut kepada pencabarnya Bernie Sanders, dalam pada bilionair Donald Trump meraih tiga kemenangan dalam perlumbaan bagi pencalonan presiden.

Bekas setiausaha negara itu kalah di negeri perindustrian, Michigan, di mana Sanders meraih 49.9 peratus undian berbanding cuma 48.2 peratus diperoleh Hillary.

“Memang ini malam yang mengagumkan,” kata Sanders.

Bagaimanapun, Hillary mengalahkan lawannya di selatan negara itu di Mississippi, terima kasih kepada jumlah pengundi Afrika Amerika yang tinggi.

Selain itu, Hillary turut berjaya melepasi 2,382 delegasi yang diperlukan untuk memenangi pencalonan Demokratik.

Namun, kemenangan Sanders itu memperkuat kempennya, seterusnya menimbulkan persoalan terhadap keupayaan Hillary memenangi negeri perindustrian lain pada pilihan raya umum kelak seperti Michigan, Ohio dan Pennsylvania.

Sanders - senator dari Vermont - menjadi pilihan pengundi muda dengan gesaannya untuk kesamarataan ekonomi dan kritikan terbukanya terhadap sistem politik Amerika Syarikat yang didakwa dibelenggu rasuah.

Sementara itu, Trump tidak mengendahkan perkara negatif dilemparkan terhadapnya dalam usaha menjatuhkan kempennya apabila berjaya menang pemilihan awal di Michigan, Mississippi serta Hawaii seterusnya membuktikan kepada lawannya kemampuannya mengatasi apa saja.

“Begitu banyak fitnah dilemparkan terhadap saya dalam seminggu saja - pembohongan bernilai AS$38 juta (RM156 juta).

“Pada saya kita patut menggunakan wang itu untuk berlawan dengan Hillary dan Demokrat,” katanya ketika meraikan kemenangan di Florida.

Bagaimanapun, di Idaho dia kalah kepada Senator Ted Cruz, saingan Republikan utamanya.

Setakat ini Hillary memenangi 13 daripada 22 pencalonan dengan Trump mendahului dalam 15 daripada 24 lokasi.

Sementara itu, Marco Rubio - senator yang menjadi pilihan utama penyokong Republikan dan dilihat mampu mengalahkan Trump - gagal menduduki tempat di Michigan atau Mississippi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 9:08 AM