Noh (tiga dari kanan) menyerahkan surat tawaran BEP kepada peserta.
Noh (tiga dari kanan) menyerahkan surat tawaran BEP kepada peserta.

Kuala Lumpur: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) menerusi 11 agensi di bawahnya menyediakan peruntukan lebih RM7 bilion kepada usahawan dan golongan terkesan akibat Covid-19.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, antara kumpulan yang dapat manfaat daripada peruntukan itu adalah golongan terkesan kerana pandemik termasuk kumpulan informal dan industri kecil sederhana (IKS).

"Daripada kumpulan informal yang menjual barangan tanpa lesen kepada golongan diberhentikan kerja, kementerian menjemput mereka menjadi usahawan dan pada masa yang sama, golongan yang belum bekerja, asnaf serta usahawan menggunakan modal sendiri turut menjadi tumpuan Medac," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Let's XCESS 2021 SME Bank Wilayah Kuala Lumpur dan Selangor serta majlis pelancaran Business Export Programme (BEP) semalam.

Program Let's XCESS SME Bank 2021 ini adalah kesinambungan program peringkat nasional SME Bank XCESS 2021, ia dianjurkan secara dalam talian pada Julai lalu dan merupakan program yang memberi akses kepada pembiayaan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

BEP pula adalah untuk melatih dan melahirkan lebih ramai usahawan PKS pengeksport Bumiputera melalui peruntukkan dana sebanyak RM30 juta yang akan memberi manfaat kepada 150 orang usahawan PKS oleh MEDAC kepada SME Bank bagi tempoh lima tahun dari 2020-2025.

"Kementerian juga telah menetapkan sasaran supaya program BEP ini dapat melahirkan sekurang-kurangnya 75 syarikat pengeksport baharu dan juga keseluruhan peserta mencatatkan peningkatan jualan eksport sebanyak RM75 juta.

"Untuk peserta BEP, saya tahu perjalanan untuk menembusi pasaran global ini bukanlah sesuatu yang mudah terutamanya dengan cabaran pandemik namun saya percaya anda semua mempunyai semangat jitu dan tidak mudah putus asa," katanya.

Noh berkata langkah yang diambil oleh SME Bank dalam menganjurkan program libat urus Let's XCESS 2021 dengan kerjasama rakan-rakan strategik yang lain, ia membolehkan usahawan PKS bangkit dalam membangunkan semula perniagaan mereka dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Fokus MEDAC adalah untuk menggariskan dasar, inisiatif dan strategi pembangunan usahawan yang lebih berkesan agar semua pihak yang terlibat untuk memajukan PKS negara dapat berfungsi dengan lebih tersusun dan efektif.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 7:01 AM