MAJLIS pelancaran Huawei Mate 8.
MAJLIS pelancaran Huawei Mate 8.
Oleh Nabil Basaruddin

Kuala Lumpur: Huawei Malaysia optimis pengenalan telefon pintar baharu serba canggih, Huawei Mate 8 dapat mengukuhkan pasarannya di negara ini sekali gus meningkatkan jenama syarikat telefon pintar itu.

Pengarah Pemasaran Produk Bahagian Telefon Bimbitnya, Luke Au berkata, ketika ini Huawei menduduki tempat ketiga bagi jualan model telefon pintar terbanyak di dunia dengan penguasaan global sehingga 9.9 peratus.

Menurutnya, pada tahun lalu sebanyak 100 juta telefon pintar Huawei terjual dengan peningkatan 44 peratus secara keseluruhannya.

“Dengan pengenalan produk baharu ini, ia akan mengukuhkan jenama kami dan turut diinspirasikan untuk golongan usahawan serta ahli perniagaan muda untuk tampil lebih elegan selain membantu pengurusan fail dan e-mel dengan cekap,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Huawei Mate 8, di sini, semalam.

Huawei Mate 8 boleh didapati dalam dua varian iaitu Huawei Mate 8 Standard dan Huawei Mate 8 Premium serta hadir dengan rekaan yang premium berasaskan logam dan turut dilengkapi pengimbas cap jari pada bahagian belakang.

Selain itu, model berkenaan juga dilengkapkan dengan peranti bersaiz enam inci iaitu cip pemprosesan Kirin 950 dan bateri berkapasiti 4000mAh mampu memberikan masa penggunaan selama dua hari selain ciri istimewa seperti sokongan pengecasan pantas selama 30 minit.

Katanya, Huawei Mate 8 ini juga didatangkan dengan teknologi Super Hands-Free 3.0 yang membolehkan pengguna menggunakan operasi bebas tangan dengan jarak sehingga tiga meter dan mengenal pasti sumber bunyi dari arah yang lebih tepat.

“Untuk rakaman gambar, Huawei Mate 8 dilengkapi dengan kamera belakang 16 megapiksel dan kamera hadapan lapan megapixel yang juga diperkemas dengan fungsi penuras dan rakaman khusus,” katanya.

Huawei Mate 8 Standard akan dijual pada harga RM2,099 manakala Huawei Mate 8 Premium akan ditawarkan pada harga RM2,399 bermula 11 Mac ini dan pembeli pertama di KLCC akan menerima Huawei Talkband B2 bernilai RM668 secara percuma.

Selain telefon pintar Huawei Mate 8, syarikat itu juga bakal melancarkan jam tangan pintar Huawei khusus untuk golongan muda, Jewel dan Elegant pada akhir bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2016 @ 9:20 AM