Nabil Basaruddin

SHENZEN: Gergasi teknologi dari China, Huawei berada di kedudukan ke-47, naik satu anak tangga dalam indeks jenama global terkemuka, BrandZ bagi kajian Jenama Global Paling Bernilai 100 Teratas yang diterbitkan oleh WPP, cabang penyelidikan Kantar.

Huawei turut mencatatkan peningkatan sebanyak lapan peratus untuk nilai jenamanya sekali gus membantu syarikat teknologi itu untuk mengukuhkan kedudukannya meskipun berdepan dengan konflik termasuk disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat (AS).

Dengan pencapaian dan kejayaan itu, ia adalah tahun keempat berturut-turut Huawei berada dalam kedudukan 50 teratas.

Berdasarkan kajian itu, inovasi telefon pintar bagi model Huawei P30 yang didatangkan dengan sistem kamera canggih dan teknologi yang belum pernah wujud serta model Huawei Mate X yang mempunyai keupayaan 5G dan reka bentuk dilipat ternyata memainkan peranan penting kepada Huawei.

“Produk telefon pintar oleh Huawei mendapat maklum balas yang memberangsangkan serta meraih pelbagai anugerah dan kejayaan yang dicerminkan menerusi jualan,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Firma penganalisis terkemuka, IDC dalam nota penjejak peranti mudah alih seluruh dunianya baru-baru ini berkata, Huawei memberi penekanan dari perspektif vendor yang mempunyai pertumbuhan penghantaran tahun ke tahun melebihi 50 peratus.

Selain itu, firma itu turut menyatakan bahawa tumpuan Huawei dalam meningkatkan kehadirannya dalam dunia peranti mudah alih turut menyaksikan ia semakin menghampiri Samsung dan kekal kukuh di tempat kedua.

Menurut IDC, Huawei kini mempunyai 19 peratus bahagian pasaran global dalam kategori telefon pintar dan satu-satunya pengeluar telefon pintar di kedudukan teratas yang mengalami peningkatan dalam jumlah penghantaran sepanjang suku pertama 2019.

Kejayaan Huawei itu turut menyerlahkan lagi trend jenama China yang semakin meluas merentasi dalam segmen ekonomi pengguna global.

Malah, empat daripada sembilan penyertaan terbaharu dalam laporan BrandZ itu adalah berpangkalan di China dan ketika ini terdapat 15 syarikat China yang berada di kedudukan 100 teratas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Jun 2019 @ 7:28 AM