TERTUDUH dihadapkan ke mahkamah atas 115 pertuduhan memalsukan pesanan pembelian barangan. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
TERTUDUH dihadapkan ke mahkamah atas 115 pertuduhan memalsukan pesanan pembelian barangan. FOTO Hairul Anuar Abd Rahim
Mohd Sabran Md Sani


Johor Bahru: Pengurus kanan syarikat swasta dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 115 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu terhadap majikannya membabitkan nilai RM101.64 juta.

Tertuduh, Foo Tseh Wan, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, Foo yang juga pengurus cawangan didakwa memalsukan pesanan pembelian membabitkan tiga syarikat iaitu Mepcom Polymer Sdn Bhd, JB Advance Plastic Marketing Sdn Bhd dan Sors Polymer Sdn Bhd pada tarikh dan waktu berbeza sepanjang tarikh berkenaan.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Unit 20.01A, Tingkat 20, Menara MAA, Jalan Datuk Abdullah Tahir di sini, antara 19 Disember 2014 hingga 7 Mei tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Foo didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Kesalahan itu, dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda tidak kurang lima kali ganda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mac 2016 @ 2:57 PM