Datuk Aishah Ahmad.
Datuk Aishah Ahmad.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad meninggal dunia pagi ini di Jeddah, Arab Saudi ketika mengerjakan ibadah umrah.

MAA melalui kenyataannya berkata, jenazah akan dikebumikan di Makkah hari ini.

Pemergian tokoh industri automotif negara itu sememangnya satu kehilangan besar, bukan sahaja kepada seluruh rakyat Malaysia, malah bagi seluruh industri automotif.

"Dengan penuh rasa sedih kami mengumumkan bahawa Presiden yang dikasihi, Datuk Aishah Ahmad Badjunaid, telah meninggal dunia dengan aman pada 2 Februari 2023 di Jeddah.

"Bagi semua pihak ahli dan kakitangan MAA kami merakamkan ucapan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga beliau.

"Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh beliau," katanya.

Sangat dihormati dalam industri automotif tempatan dan juga rakan sejawatan di rantau Asean, Anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) dan kerajaan Malaysia, Aishah adalah seorang lagenda dan salah seorang personaliti automotif terkemuka yang menumpukan sepanjang hidupnya menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan industri automotif Malaysia dengan penuh visi, dedikasi dan semangatnya tersendiri.

Menerajui jawatan itu sejak 1991 (ketika MAA masih dikenali sebagai Persatuan Peniaga Motor Malaysia atau MMTA), Aishah menerajui pertumbuhan MAA menjadikannya persatuan industri automotif terkemuka di Malaysia.

Di bawah pengawasannya, MAA terus berkembang dari segi kedudukan, keahlian dan sumber.

Dengan kepimpinan dan komitmen yang kuat, persatuan terbabit dengan pelbagai dialog, perbincangan dan cadangan bersama kerajaan untuk menyelesaikan isu perindustrian dan mengkaji semula dasar bagi menyokong pengembangan dan penyaluran industri automotif di Malaysia.

Selain menjadi Presiden MAA, Datuk Aishah juga adalah Pengerusi Persekutuan Automotif Malaysia (AFM) sejak 1998 hingga sekarang.

AFM adalah payung persatuan untuk MAA, Pengeluar Komponen Automotif Malaysia (atau MACPMA) dan Persatuan Pemasang & Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia atau MASAAM).

Selain itu, lebih 30 tahun perkhidmatan dan dedikasi beliau kepada MAA serta AFM berjaya membawa organisasi dengan kebijaksanaan dan pengalamannya yang luas.

Sebagai Presiden dan Pengerusi, beliau sentiasa bersedia mendengar pandangan semua ahli, serta berkongsi dengan mereka pengetahuan dan pengalamannya yang luas dalam pelbagai bidang.

Beliau juga seorang yang sangat responsif dalam membawa isu-isu biasa kepada pelbagai jabatan kerajaan yang memberi manfaat kepada industri automotif.

Dari segi profesional, Aishah mempunyai lebih 40 tahun pengalaman dalam industri automotif dan ini berjaya menjadikan beliau antara individu yang paling lama berkhidmat serta terbabit dalam industri automotif.

Beliau memulakan kerjayanya pada pertengahan 1970-an dengan Kumpulan Inchcape di Malaysia, kemudian menyertai Ford Malaysia, Tractors Malaysia dan akhirnya bersara pada 2021 apabila beliau berkhidmat dengan Sime Darby Motors Division Sdn Bhd.

Walaupun bersara, beliau terus berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Pengarah bagi Kumpulan Sime Darby.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 3:37 PM