GERARD, Ir Khairil Anwar dan Dr Badrul Hisham Kassim bergambar selepas sidang akhbar di Galeri Jualan Sunway Iskandar, semalam.
GERARD, Ir Khairil Anwar dan Dr Badrul Hisham Kassim bergambar selepas sidang akhbar di Galeri Jualan Sunway Iskandar, semalam.
Oleh Redzuan Muharam

Johor Bharu: Sunway Property, cabang hartanah Sunway Bhd mensasarkan 10,000 penyertaan acara larian berhalangan terbesar anjurannya, The Sunway Iskandar Viper Challenge@Medini, pada 30 April depan.

Program edisi ketiga itu bakal menyaksikan peserta perlu melepasi 25 halangan semula jadi dan buatan dengan mengharungi larian sejauh 20 kilometer.

Ketua Pegawai Eksekutif Sunway Iskandar Gerard Soosay berkata, acara itu bertujuan menggalakkan masyarakat untuk kekal aktif menerusi aktiviti luar dan selaras dengan rancangan syarikat untuk melahirkan komuniti dinamik di Medini Iskandar.

“Viper Challenge dianjurkan sejak 2013 dan penganjuran di Johor itu idea Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd yang inginkan konsep serta acara yang memberi peluang kepada orang ramai untuk meneroka sendiri pembangunan sedang dijalankan.

“Pemilihan tapak acara juga bertepatan kerana peserta akan melalui cabaran sambil menikmati keindahan kawasan Sunway Iskandar yang dikelilingi kira-kira 282.3 hektar elemen semula jadi seperti Tasik Emerald, Sungai Pendas, Selat Johor dan tumbuhan hijau.

“Apa yang lebih utama acara ini bukan saja khusus untuk peminat aktiviti lasak malah sesuai bagi seisi keluarga dan Viper Challenge mencapai rekod mengagumkan menerusi penyertaan hampir 100,000 peserta tempatan, rantau ASEAN dan Eropah,” katanya kepada pemberita di Galeri Jualan Sunway Iskandar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd Datuk Ir Khairil Anwar Ahmad; Pengarah Operasi Viper Challenge Simran Latif dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) Dr Badrul Hisham Kassim.

Menurut Gerard, mereka berminat boleh membuat tempahan secara atas talian di www.viperchallenge.com.

“Acara ini terbuka kepada semua dengan had umur 16 tahun ke atas. Harapan kami penganjuran acara ini dapat memupuk semangat setia kawan, kerja berpasukan, kesungguhan dan gaya hidup sihat selaras dengan tema syarikat untuk 2016 iaitu ‘Living Sunway, Living Community,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 8:25 AM