MENARA Sunway Big Box Office, di Sunway City Iskandar Puteri.
MENARA Sunway Big Box Office, di Sunway City Iskandar Puteri.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


SUNWAY City Iskandar Puteri dan NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd (NEC Malaysia) melakar perjalanan baharu dan menyokong ekonomi digital negara dengan pembukaan Pusat Kecemerlangan Inovasi (CoE) pertamanya di Menara Sunway Big Box Office, Johor.

Menerusi pengembangan empayarnya dari Singapura ke Wilayah Selatan Malaysia, CoE NEC Malaysia itu bakal beroperasi sementara di Sunway Citrine Hub di Sunway City Iskandar Puteri.

Ia sementara menunggu persiapan penuh menara itu bagi memindahkan perkhidmatan pengurusan dan operasi pusat perhubungan untuk pelanggan mereka di Asia Tenggara mulai Januari 2023.

Pengarah Urusan NEC Malaysia, Chong Kai Wooi berkata, sebagai bandar yang berkembang pesat, Sunway City Iskandar Puteri adalah lokasi ideal untuk mereka memperluaskan penyelesaian bandar pintar dan mencapai pembangunan lestari di Malaysia dan rantau ASEAN.

Kata Chong, pihaknya berharap dapat mengembangkan teknologi perkhidmatan teras digital inovatif dan perkhidmatan yang memberikan nilai sosial lebih besar untuk masa depan lebih baik.

"CoE baharu kami di Menara Sunway Big Box Office, lebih menumpukan kepada perkhidmatan pengurusan dan penyelesaian bandar pintar.

"Selain itu, ia turut membantu membangun dan melengkapkan bakat tempatan dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam norma baharu.

"Kami ingin membantu rakyat Malaysia dalam menjadikan negara digital yang inklusif menerusi CoE dan penyelesaian terkemuka di dunia," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sunway City Iskandar Puteri, Gerard Soosay berkata, perjanjian penyewaan antara pemaju dan NEC Malaysia dapat memberikan kebaikan kepada rakyat Malaysia dengan mewujudkan peluang pekerjaan khususnya dalam kawasan perbandaran bersepadu itu.

Ia secara tidak langsung turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

Kata Gerard, pihaknya gembira kerana NEC Malaysia memilih Menara Sunway Big Box Office sebagai lokasi pilihan untuk menubuhkan pusat perhubungan serantau pertama di Malaysia.

"Dengan peluasan operasi NEC Malaysia ke Johor, kami yakin mereka akan dapat menjangkaui pelanggan di rantau Asia Tenggara dengan memberikan perkhidmatan yang lebih cekap kepada pelanggan.

"Kami yakin menara ini dapat meningkatkan reputasinya kerana tawarannya yang berkualiti.

"Pemilihan Sunway City Iskandar Puteri juga membuktikan bahawa perbandaran kami bukan hanya untuk didiami, malah bandar yang menawarkan potensi untuk berkembang kukuh menerusi langkah penempatan operasi organisasi tempatan dan antarabangsa," katanya.

Terletak di taman peruncitan format besar pertama Sunway, NEC Malaysia akan menggunakan keseluruhan tingkat dua daripada 12 tingkat menara pejabat, dengan keluasan lantai kasar sekitar 20,474 kaki persegi dan keluasan lantai bersih sekitar 17,050 kaki persegi.

Pembangunan menara itu dijangka siap sepenuhnya menjelang suku kedua tahun hadapan dan membolehkan NEC Malaysia beroperasi awal Januari 2023.

NEC Malaysia menubuhkan Pusat Kecemerlangan Inovasi (CoE) pertamanya di Menara Sunway Big Box Office.
NEC Malaysia menubuhkan Pusat Kecemerlangan Inovasi (CoE) pertamanya di Menara Sunway Big Box Office.

Sebagai bandar pintar kedua lestari di Johor, Sunway City Iskandar Puteri bukan sahaja dapat membantu syarikat itu dalam meningkatkan imej korporatnya tetapi juga menyepadukan kelestarian dalam sesebuah syarikat.

Selain itu, dengan kewujudan akses yang pantas bagi infrastruktur awam untuk memastikan kelancaran transit, perbandaran berkenaan terletak hanya lima kilometer dari Pautan Kedua Malaysia-Singapura melalui Coastal Highway Southern Link (CHSL).

Lebih istimewa, ia turut menyediakan perkhidmatan bas dari Johor ke Singapura, SoCar dan perkhidmatan bas ulang-alik Iskandar Puteri sekali gus memudahkan perjalanan bagi mereka yang kerap ke Sunway City Iskandar Puteri.

Pembandaran infrastrukturnya bukan sahaja dirancang dengan strategik malah pemaju juga menawarkan pelbagai kemudahan termasuk XPark Sunway City Iskandar Puteri (salah satu taman tema ekstrem dan pengembaraan terbesar di Malaysia), sebuah pusat pendidikan untuk orang dewasa yang bekerja dan anak-anaknya, kedai runcit dan banyak lagi.

Aspek keselamatan komuniti maksimum juga disediakan melalui perkhidmatan keselamatan sepanjang masa.

Menurut Gerard lagi, sebagai sebuah bandar yang bersepadu dan lestari, Sunway City Iskandar Puteri memenuhi keperluan masyarakat termasuk menyediakan pelbagai kemudahan bagi memastikan keseimbangan antara kerja dan kehidupan.

Kata Gerard, pihaknya yakin perkara itu dapat mewujudkan keharmonian dan menjalinkan hubungan antara satu sama lain dalam syarikat.

Katanya, penyewa juga akan mempunyai banyak pilihan seperti mencuba beberapa gerai makanan dan minuman, aktiviti riadah dan sukan untuk kerja berkumpulan serta Sunway Hotel Big Box yang akan dibuka tidak lama lagi bagi menampung rakan kongsi perniagaan dan banyak lagi.

"Pada tahun 2018, kami memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan NEC Asia Pacific Ltd bagi meningkatkan keselamatan pembandaran termasuk menggunakan analisis video dan biometrik.

"Kini, kami bersyukur dan gembira melihat pasukan kami berkembang di Sunway City Iskandar Puteri.

"Apapun, banyak lagi yang kami perlu lakukan sebagai rakan kongsi dan kami berharap dapat mencipta inovasi baharu bersama-sama demi membangunkan masyarakat dan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 7:00 AM