TEE (kanan) melepaskan peserta lumba motorcross di Iskandar Puteri, semalam.
TEE (kanan) melepaskan peserta lumba motorcross di Iskandar Puteri, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Iskandar Puteri: Sunway Iskandar Xtreme Park (XPark @ Sunway Iskandar), akan beroperasi akhir tahun ini, sekali gus bakal menjadi tumpuan peminat sukan ekstrem antarabangsa dan tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata, kewujudan XPark @ Sunway Iskandar itu menepati hala tuju dalam pembangunan Iskandar Malaysia sebagai metropolis bertaraf antarabangsa.

Katanya, fasa pertama pusat sukan ekstrem membabitkan keluasan 12.95 hektar dengan nilai pelaburan RM20 juta itu menyediakan pelbagai lapangan sukan seperti basikal lasak, go kart dan all terrain vehicle (ATV).

“Pusat sukan ekstrem ini pasti menarik ramai pelawat dan pelancong dalam dan luar negara.

“Dengan adanya pusat bertaraf antarabangsa ini, pasti Johor menjadi destinasi utama bagi penganjuran sukan ekstrem peringkat antarabangsa.

“Ia seiring dengan Johor destinasi pelancongan bernilai tinggi menjelang 2023 berpandukan Pelan Induk Pelancongan Negeri Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah XPark @ Sunway Iskandar di Sunway Iskandar di sini.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Adib Azhari Daud, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sunway Iskandar Gerard Soosay, Ketua MCA Bahagian Gelang Patah Datuk Jason Teoh Sew Hock dan Pengurus Urusan XPark Malaysia Rocky Siow.

Menurut Tee, kerajaan negeri berbesar hati apabila Sunway Iskandar membuat keputusan tepat melabur di wilayah Iskandar Malaysia yang kini koridor pembangunan ekonomi paling berjaya di Malaysia.

Katanya, kerajaan negeri menyokong pembukaan pusat sukan ekstrem itu sebagai usaha menggalakkan golongan muda terutamanya untuk menceburi bidang sukan berkenaan.

“Pembangunan sektor pelancongan di Johor bersifat dinamik, pelbagai dan inklusif.

“Ia bukan saja menjadi tumpuan peminat sukan ekstrem semata-mata, malah menjadi pusat rekreasi seisi keluarga kerana ia menyediakan kemudahan sukan dan aktiviti lain seperti memanah, kayak, badminton dan futsal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 7:45 AM