Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd (Medini Iskandar), pemaju induk bagi perbandaran Medini di Iskandar Puteri, Johor bakal mewujudkan limpahan ekonomi yang akan memanfaatkan pelbagai cabang perniagaan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr James Tee berkata, perbandaran itu yang memfokuskan kepada pembinaan infrastruktur kepada penghuninya kini menarik pelbagai suntikan pelaburan di bandar raya terbabit.

Beliau berkata, perbandaran Medini yang memberi fokus kepada enam teras utama seperti pelancongan, industri kreatif, kesihatan, logistik, pendidikan dan perkhidmatan perniagaan global mampu menjadikannya sebagai pusat perniagaan utama.

“Sehingga kini Medini menawarkan banyak peluang pekerjaan dalam cabang perniagaan berbeza dengan populasi 10,000 penduduknya yang dijangka berganda dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

“Malah, keunikan perbandaran itu juga menarik banyak syarikat luar untuk membuka pejabat di Medini, sekali gus mengukuhkannya sebagai lokasi strategik bagi operasi serantaunya.

“Beberapa tahun lalu, kita melihat landskap Medini hanya mempunyai kira-kira 25 bangunan menara dan kini kita boleh lihat ia berubah apabila lebih 40 menara tersergam indah,” katanya.

Setakat ini, terdapat 18 pemaju yang bertindak untuk membangunkan projek berkaitan hartanah kediaman, bangunan pejabat dan komersial seperti Mah Sing Group Bhd, United Malayan Land Bhd, Sunway, WCT, Pulau Indah Ventures Sdn Bhd dan Tang Group of Companies.

Medini Iskandar dibangunkan di kawasan perbandaran seluas 902.4 hektar yang juga pusat perniagaan di Iskandar Puteri.

James berkata, Medini Iskandar turut membina beberapa projek iaitu Medini 6 dan Medini 7 yang siap beberapa tahun lalu manakala Medini 10 kini sedang dalam pembinaan.

“Bagi Medini 9, ia akan mula dibuka pada akhir Mei ini yang mana menerima sambutan menggalakkan terhadap bangunan pejabat premiumnya.

“Pembinaan bangunan setinggi 21 tingkat itu sudah siap dan akan diserahkan kepada penyewa. Ia berjaya menarik minat syarikat tempatan dan asing membabitkan pelbagai industri seperti teknologi maklumat dan komunikasi, reka bentuk perisian dan penyumberan luar proses perniagaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 4:43 AM