KETUA Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bersama barisan Pergerakan Pemuda dan para ahli perwakilan ketika di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Bernama
KETUA Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin bersama barisan Pergerakan Pemuda dan para ahli perwakilan ketika di Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda Umno bersempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Dewan Tun Hussein Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). - Bernama

Kuala Lumpur: Jika Akta Hasutan 1948 dipinda atau ditambah baik, kerajaan perlu mengekalkan terma yang melarang dan menghukum sebarang kenyataan atau kelakuan menghasut.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, terma tersebut merupakan kuasa dan perisai tempat berlindung bukan hanya untuk orang Melayu, tetapi untuk semua rakyat Malaysia.

“Jika ada yang melangkaui batas menghina bangsa atau Raja-Raja Melayu, Pemuda mendesak agar mereka cepat-cepat didakwa. Sementelah itu, jika ada yang menghina atau mencerca kaum lain, kita juga harus jadi barisan pertama yang mengasak agar mereka itu dikenakan tindakan.

“Walau apa pun akhirnya Akta Hasutan ini, walau apa pun nama baru yang diberi, kita mahu kuasa yang ada dalam akta ini dikekalkan dan jadi perisai untuk semua. Kerana percayalah, tanpa perisai ini negara kita pasti hancur,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bertajuk ‘Melayu’ pada Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2014, di sini hari ini.

Beliau berkata, bagaimanapun Akta Hasutan bukanlah semata-mata tempat bergantung, sebaliknya pendirian semua perlu mantap dan komited dalam mencorak fabrik perpaduan nasional.

Menyentuh mengenai bahasa kebangsaan, Khairy berkata, masih ramai yang tidak mampu bertutur dalam bahasa itu terutama mereka yang memilih sekolah vernakular.

Katanya, sekolah vernakular boleh diteruskan, tetapi sesuatu perlu dilakukan untuk mengukuhkan perpaduan nasional pertiwi dengan penguasaan bahasa rasmi negara itu.

“Pastikan murid-murid sekolah vernakular fasih dalam bahasa kebangsaan. Jadilah sebahagian daripada proses integrasi, jangan jadi masyarakat yang tersisih,” katanya.

Katanya, walaupun mungkin ada sedikit suara yang mempersoal kewujudan sekolah vernakular, tetapi kepimpinan UMNO sudah lama menerima aliran ini yang telah terpateri dalam undang-undang negara.

Beliau berkata, status sekolah vernakular tidak boleh diubah oleh sesiapa, malah dalam pembentangan belanjawan tahunan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, tegar memberi peruntukan khas untuk sekolah-sekolah vernakular. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:56 PM