NAJIB Razak menggulung perbahasan di hari terakhir pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di PWTC. FOTO Abdullah Yusof
NAJIB Razak menggulung perbahasan di hari terakhir pada Perhimpunan Agung UMNO 2014 di PWTC. FOTO Abdullah Yusof
Oleh Hisyam Salleh


Kuala Lumpur: Pindaan bagi memperbaiki dan memperkukuhkan Akta Hasutan 1948 bakal dibentangkan pada persidangan Parlimen akan datang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya akan mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara dan meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menjalankan siasatan saksama kepada mereka yang didakwa di bawah akta itu.

"Tanggungjawab saya adalah menjaga keamanan dan kesejahteraan negara. Kebebasan juga ada hadnya. Kita tak mahu orang menghina Islam, hak istimewa orang Melayu, kedudukan raja-raja Melayu, Angkatan Tentera Diraja Malaysia dan agama-agama lain.

Najib yang juga Presiden UMNO berkata, beliau memilih perhimpunan agung sebagai platform bagi mengumumkan pengekalan Akta Hasutan kerana mahu menunjukkan bahawa beliau mendengar suara-suara kolektif mereka.

"Saya mahu ahli UMNO tahu bahawa sebagai presiden, saya bertanggungjawab untuk anda semua dan jika anda semua ingin Akta Hasutan kekal, saya akan kekalkan demi keselamatan negara.

"Dengan akta ini, negara kita akan aman. Saya mahu membawa Malaysia ke hadapan," kata Najib dalam ucapannya penggulungan pada Perhimpunan Agung UMNO 2014, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 7:53 PM