Filem Dekatnya Cinta.
Filem Dekatnya Cinta.
Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Fenomena drama Adam & Hawa yang pernah ditayangkan pada 2012 kembali menemui penonton menerusi kesinambungan dalam filem Dekatnya Cinta di saluran Astro First bermula esok.

Filem romantik terbitan Global Station itu masih mengekalkan pelakon utamanya, Datuk Aaron Aziz sebagai Adam Mukriz dan Nadiya Nisaa sebagai Ain Hawani.

Penerbit Eksekutif Dekatnya Cinta, Zetty Alia Ramly berkata, impak drama Adam & Hawa yang masih dirasai sehingga sekarang mendorong pihaknya untuk membawa kesinambungan kisah cinta Adam dan Hawa.

"Selepas drama itu cetus fenomena di luar jangkaan, impaknya dirasai sehingga sekarang. Ada dalam kalangan peminat masih bercakap dan mengharapkan kesinambungan drama ini. Jadi, atas sokongan positif penonton, pihak kami tidak teragak-agak untuk membawa kesinambungan kisah percintaan Adam dan Hawa menerusi filem pula.

"Kali ini menyaksikan sisi berbeza Ain Hawani dan Adam Mukriz selepas berumah tangga dan dikurniakan anak. Walaupun ia kesinambungan daripada drama terdahulu, namun buat penonton yang baru mengenali Adam dan Hawa, masih boleh mengikuti filem Dekatnya Cinta kerana ia tampilkan naratif yang baru.

"Kami harap filem Dekatnya Cinta ini dapat mengubati rindu peminat Adam dan Hawa serta mengulangi kejayaan Adam & Hawa terdahulu," katanya.

Selain Aaron dan Nadiya, filem arahan Feroz Kadir itu turut menampilkan pelakon seperti Farah Nabilah, Datuk Fazley Yaakob dan Nadya Syahera.

Lebih menarik, filem ini turut memuatkan beberapa babak-babak romantik daripada sedutan drama 80 episod terdahulu yang pasti dapat membawa penonton imbau kembali momen cinta Ain Hawani dan Adam Mukriz.

Tidak cukup dengan itu, lagu tema popular Adam & Hawa iaitu Muara Hati, nyanyian penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Hafiz Suib sekali lagi mengiringi babak meruntun jiwa dalam Dekatnya Cinta.

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Mei 2021 @ 9:46 AM