ABAM menunjukkan pelbagai pilihan hidangan masakan Minang.
ABAM menunjukkan pelbagai pilihan hidangan masakan Minang.
Oleh Mohd Azam Shah Yaacob


Dihidangkan dengan lebih 60 lauk yang dimasak menggunakan adunan lebih 100 rempah khas, menjadikan menu masakan Minang mampu membuka selera sesiapa saja.

Tidak sekadar aroma, setiap hidangan yang lazimnya ditemui di daerah Padang, Indonesia juga mempunyai keunikan tersendiri dan akan membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk mencuba setiap lauk yang tersedia di depan mata.

Biarpun di negara kita mungkin ada ratusan restoran masakan Minang, tidak mudah mencari lokasi yang menyediakan rasa sejati seperti di negara jiran itu.

Namun, kewujudan Restoran Grand Garuda Baru yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pasti memberikan kepuasan kepada peminat masakan berkenaan.

Disediakan oleh tukang masak yang dibawa khas dari daerah Padang, saat menikmati menu yang disediakan akan membuatkan sesiapa sahaja terasa seperti berada di negara berkenaan, apatah lagi jika mencuba menu istimewa restoran berkenaan.

Antara menunya ayam balado, dendeng balado, gulai tunjang, ayam pop, sup buntut (sup ekor), sate Padang, gulai sotong, gulai kakap, sambal balado, cincang daging dan gulai rebung.

Pengurus Grand Garuda Baru, Datuk Othman Tan Muhammad Tan berkata, setiap hari penyediaan setiap menu dibuat oleh lima tukang masak yang diketuai seorang cef.

Katanya, ini bagi menjaga kualiti masakan supaya tidak lari daripada rasa asal masakan Minang.

“Semua tukang masak ini memang terlatih dalam bidang penyediaan masakan Minang dan banyak pengalaman. Mereka berupaya memasak lebih 60 jenis hidangan masakan Minang yang berbeza yang mana setiap hari, hidangan biasa sahaja mencecah hing­ga 40 jenis,” katanya.

Menurut Othman Tan, pada hari tertentu, pihaknya menyediakan menu khas dalam jumlah terhad seperti ikan baung salai, ikan bilis danau singkarak selain menu udang galah dan jus minuman avokado.

“Menu khas ini terhad kerana bahan mentahnya hanya diperoleh mengikut musim tertentu di Indonesia.

“Disebabkan itu, kita tidak memasukkan menu ini sebagai hidangan tetap kerana harga bahan mentahnya juga mahal dan ada pada waktu tertentu saja,” katanya yang mengakui kebanyakan bahan mentah serta rempah memang diimport khas dari Indonesia.

Mahu mengekalkan ciri asli masakan Minang, restoran ini juga menghidangkan juadah dalam set bermula untuk dua orang dengan pilihan lebih 20 jenis lauk sehingga 60 jenis lauk bagi jumlah pengunjung yang lebih ramai.

Harga pula hanya dikenakan mengikut jenis lauk yang disentuh dan tidak dikira berdasarkan hidangan yang boleh ditempah menerusi telefon atau makan secara ‘walk-in’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Februari 2016 @ 5:00 AM