Kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga pagi tadi. FOTO ihsan bomba dan pembaca
Kemalangan yang mengorbankan lima sekeluarga pagi tadi. FOTO ihsan bomba dan pembaca
Junaidi Ladjana


Sandakan: Lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan pacuan empat roda dengan treler di Batu 35 Jalan Sandakan - Telupid, dekat sini, pagi tadi dalam perjalanan ke majlis perkahwinan.

Dalam kejadian 4.50 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Bassar Umar, 40, yang memandu pacuan empat roda, dan empat lagi penumpang yang juga anak saudara Bassar iaitu Nuraisyah Jabir, 11, dan adiknya Nurhafisa, 10, serta Pauji Ahi, 25, dan adiknya Abdillah, 18.

Tiga lagi yang parah adalah Jabir Dasad, 49 dan isterinya Noron Ayan, 34, serta seorang wanita berusia 20-an. Mereka kini dirawat di Hospital Beluran.

Pemandu treler berusia 47 tahun hanya cedera ringan.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan ke Tuaran untuk menghadiri majlis perkahwinan keluarga.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Zain ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan pemandu treler ditahan bagi membantu siasatan.

Katanya, punca nahas masih dalam siasatan dan kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 7:12 PM