Motosikal ditunggang dua beradik yang terbabit kemalangan sehingga mereka meninggal dunia.
Motosikal ditunggang dua beradik yang terbabit kemalangan sehingga mereka meninggal dunia.
Hazsyah Abdul Rahman

KONVOI berhari raya sekumpulan penunggang motosikal berakhir dengan tragedi selepas dua beradik maut manakala seorang cedera dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan spacuan empat roda di Jalan Sandakan-Beluran, berdekatan simpang masuk ke Kampung Jaya Bakti, Sandakan, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, penunggang motosikal, Abdurasid Asad Kasin, 25, bersama adiknya Abdurazim, 17 yang membonceng motosikal dilaporkan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Seorang lelaki berusia 35 tahun yang juga rakan mereka hanya cedera ringan selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan motosikal kedua-dua mangsa.

Difahamkan, kumpulan konvoi itu pekerja ladang kelapa sawit di Beluran dan dalam perjalanan pulang selepas berhari raya di Bukit Garam, dekat Kinabatangan.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan dua motosikal yang dalam perjalanan menuju ke Beluran manakala sebuah pacuan empat roda datang dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di lokasi, dua motosikal terbabit masuk ke lorong bertentangan dipercayai cuba memintas tiga kenderaan dihadapannya.

 "Bagaimanapun ketika memintas, dua motosikal terbabit disyaki bergesel sesama sendiri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Azhar berkata, akibat kejadian itu, motosikal yang ditunggang dua beradik itu tercampak ke laluan bertentangan dan menyebabkan sebuah pacuan empat roda yang datang dari arah bertentangan gagal mengelak sehingga menyebabkan rempuhan berlaku.

"Dua lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh pengawai perubatan di lokasi kejadian

“Seorang lagi penunggang bersama motosikalnya terhumban ke bahu kiri jalan dilaporkan terselamat dalan kejadian itu dan hanya mengalami kecederaan ringan," katanya.

Katanyai, mayat kedua-dua dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk dibedah siasat.

“€œKes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Jun 2017 @ 12:22 AM