PASUKAN hoki perempuan Kuala Lumpur ceria bersama hadiah kemenangan.
PASUKAN hoki perempuan Kuala Lumpur ceria bersama hadiah kemenangan.

Georgetown: Keunggulan dan kehebatan pasukan hoki perempuan Kuala Lumpur sukar digugat apabila mengekalkan kejuaraan buat tahun keempat berturut-turut pada Pesta Hoki Antarabangsa USM-Pulau Pinang Ke-43 di Universiti Sains Malaysia (USM), baru-baru ini.

Pasukan Kuala Lumpur yang bertanding dalam kategori bawah 12 tahun itu menewaskan Damar Laut, Perak 2-0 pada untuk dinobatkan juara.

Kejayaan skuad itu dibantu kecemerlangan dua tonggak Irma Nur Izzati Arief Amron serta Nur Aqilah Zulkarnain dengan jurulatih Jasman Sim berkata, kehebatan dan kesungguhan kedua-dua pemain terbabit membuatkan kehadiran mereka kali ini sangat digeruni lawan.

Aksi cemerlang Irma Nurizzati menyaksikannya dianugerahkan Anugerah Pemain Berbakat 2016. Sebelum ini dia pernah menerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik 2014.

Pasukan Ferringhi Titan pula menjuarai kategori remaja lelaki B-12 selepas menumpaskan Sejambu 1-0.

Faris Green muncul juara kategori remaja perempuan B-15 selepas mengatasi Sekolah Menengah Perempuan St George (SGGS) 9 Fighters 2-0.

Majlis Sukan Negeri Kedah (MSNK) D Lela juara kategori remaja perempuan B-18 selepas mengetepikan Ismailian Tigers 3-0.

Pemenang setiap kategori membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM800, pingat dan produk sumbangan Nestle.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Disember 2016 @ 7:08 AM