Agensi

Jakarta: Satu gempa bumi kuat menggegarkan Pulau Jawa semalam, menyebabkan penduduk meluru keluar ke jalan raya sebagai langkah untuk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, sehingga malam tadi, tidak ada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan.

Amaran tsunami juga tidak dikeluarkan.

Agensi Kaji Bumi Amerika Syarikat berkata, gempa 6.0 magnitud di bawah laut itu berpusat 93 kilometer ke selatan Krajan Tambakrejo, bandar di Jawa Timur dan berlaku pada kedalaman 59 kilometer.

Dalam kenyataan menerusi laman webnya, Agensi Kaji Cuaca, Iklim dan Geofizik Indonesia berkata, gempa itu tidak berpotensi mencetuskan tsunami.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan pula berkata, penduduk di Jawa Timur merasakan gegaran itu selama enam saat.

Menurut laporan media tempatan, gegaran paling kuat berlaku di Malang, Jawa Timur, 150 kilometer ke utara pusat gempa.

Ia juga dapat dirasakan di Bali yang terletak di timur Jawa.

Indonesia sering dilanda gempa bumi kerana lokasinya di atas Lingkaran Api Pasifik.

Gempa bumi kuat yang melanda Sumatera hingga menyebabkan tsunami pada 2004 menyebabkan lebih 230,000 terbunuh, kebanyakannya di Aceh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2015 @ 7:32 AM