KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Shamsudin Husin
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan. FOTO Shamsudin Husin
Shamsudin Husin


Chukai: Pemuda maut dan abangnya cedera selepas kereta dinaiki bertembung kenderaan lain di Kilometer 126.6 Jalan Kuala Terengganu-Kemaman di Kemasek, di sini, 3.20 petang tadi.

Mangsa, Che Wan Fadhlul Wafi Che Wan Razali, 20, dari Kijal yang duduk di tempat penumpang depan Satria Neo dipandunya abangnya, Che Wan Mohd Farhan, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Kereta mereka dikatakan terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Saga BLM.

Kejadian itu juga menyebabkan penumpang Proton Saga BLM berkenaan yang belum dikenal pasti identitinya cedera manakala pemandunya terselamat.

Difahamkan, dua beradik berkenaan dalam perjalanan untuk menghadiri majlis pernikahan seorang lagi adik beradik mereka, Che Wan Fadhlul Hadi, 24, tidak jauh dari kawasan kejadian.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim mengesahkan kejadian itu dan mangsa yang meninggal dunia dibawa untuk proses bedah siasat di Hospital Kemaman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2016 @ 8:36 PM