Shukri dan Tya buat persiapan untuk menyambut kelahiran anak.
Shukri dan Tya buat persiapan untuk menyambut kelahiran anak.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Shah Alam: Pelakon Shukri Yahaya, 27, memaklumkan isterinya Tya Adnan kini hamil tiga bulan.

Menurut pelakon drama Dia Isteri Luar Biasa ini, dia mendapat khabar gembira itu selepas isterinya membuat pemeriksaan menggunakan alat ujian kehamilan, baru-baru ini.

“Saya bersyukur dan ini rezeki kami. Kami memang tidak pernah merancang dan bersedia untuk menimang anak bila-bila masa saja.

"Saya memang teruja dan sangat gembira. Kami juga sudah membuat persiapan untuk menyambut kelahirannya nanti," katanya kepada Harian Metro.

Shukri berkata, buat masa sekarang dia tidak membenarkan isterinya melakukan kerja-kerja berat selain mengalami alahan di awal kehamilan.

"Mulai sekarang saya yang banyak buat kerja rumah. Memandangkan dia masih alah pada bau, jadi saya tidak mahu dia kerja kuat. Saya juga tidak membenarkannya bergerak banyak," katanya.

Shukri juga berharap Tya yang akan bersalin pada hujung Ogos ini melahirkan bayi lelaki.

Pasangan itu bernikah pada 20 November tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2016 @ 5:31 PM