FARIZAL (kiri) bersama pengasas FAT GK Franky Adi Thama (tengah) dan pengedar FAT GK Malaysia Ahmad Syibly Mohd Arraji ketika majlis menandatangani perjanjian tajaan di Johor Bahru.
FARIZAL (kiri) bersama pengasas FAT GK Franky Adi Thama (tengah) dan pengedar FAT GK Malaysia Ahmad Syibly Mohd Arraji ketika majlis menandatangani perjanjian tajaan di Johor Bahru.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Farizal Marlias menjadi penjaga gol kedua mendapat tajaan syarikat FAT GK.

Sebelum ini, syarikat FAT GK sudah menaja rakan sepasukan penjaga gawang utama itu, Izham Tarmizi Roslan selama setahun bermula Januari lalu dengan nilai tajaan RM10,000 untuk pemakaian sarung tangan jenama FAT GK.

Farizal yang turut mendapat tajaan setahun untuk kelengkapan sarung tangan latihan dan juga permainan bernilai RM10,000 jelas teruja mendapat penajaan syarikat berpangkalan di Indonesia itu.

“Ini penajaan pertama saya, khas untuk penggunaan sarung tangan FAT GK. Sebelum ini sekadar sarung tangan jenama lain dan bukan khusus untuk diri saya.

“Sarung tangan ini dibuat khas untuk penggunaan penjaga gol saja dan kualitinya setanding dengan jenama terkenal.

“Sebenarnya di Malaysia untuk mendapatkan sarung tangan berkualiti agak sukar kerana kebanyakan yang ada di negara ini kategori Gred Kedua atau Gred Ketiga tidak sesuai untuk digunakan ketika perlawanan,” katanya kepada Arena Metro selepas majlis ringkas menandatangani kontrak penajaan sarung tangan FAT GK.

Farizal berkata, ketika sesi latihan bersama Johor DT beberapa minggu lalu, dia sudah menggunakan sarung tangan FAT GK dan berkeyakinan dengan kualiti serta ketahanan produk berkenaan.

Malah dia juga berharap penajaan sarung tangan berkenaan bukan hanya tempoh setahun dan berharap berpanjangan kerana jenama itu sudah mula dikenali di Indonesia dan Singapura.

“Buat masa ini hanya saya dan Izham Tarmizi ditaja syarikat FAT GK. Saya berharap syarikat berkenaan turut menaja penjaga gol lain yang beraksi dalam Liga M),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2016 @ 7:11 AM